www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Wednesday, October 14, 2009

MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (BHGN 7)



Untuk cemerlang dalam bidang dakwah, kita mestilah melazimi 2 perkara berikut seumur hayat:


1. sedia untuk terus ditarbiyah
2. sedia untuk terus mentarbiyah

Jangan sesekali menganggap diri kita serba tahu. Sungguhpun kita memegang jawatan pemimpin, tidak akan hilang bisa kita dengan meminta pandangan dan tunjuk ajar daripada orang bawahan. Tidak akan berkurang aura kita jika bertukar-tukar fikiran dengan pimpinan jemaah lain. Jangan sesekali menganggap “Aku sudha sampai tahap yang tinggi, tak perlu lagi dtarbiyyah. Aku layak mentarbiyah sahaja.”


Berlaku kesilapan dalam menanggapi dakwah. Ada orang berfikir dakwah adalah jalan pintas untuk menjadikannya seorang ulama dan menjadikan dirinya tumpuan orang. Jenis ini biasanya “hangat-hangat tahi ayam”. Apabila angan-angannya tidak tercapai, dia mulai “sejuk”. Sebenarnya tidak ada jalan mudah dan tidak ada masa singkat untuk sampai ke tahap itu. Dakwah adalah satu perjalanan jarak jauh.
Jemaah-jemaah dakwah mempunyai sukatan pelajarannya sendiri sama ada secara langsung ataupun tidak. Kita kena melalui tingkat demi tingkat. Sesiapa yang berkebolehan, dia lebih cepat naik tingkatan.

Kesilapan seterusnya, ada orang menganggap dakwah hanyalah untuk golongan agama. Sesiapa yang tidak pernah mendapat pendidikan khusus agama Islam tidak layak untuk berdakwah. Padahal muallaf yang baru mengucap dua kalimah syahadah pun sudah boleh berdakwah asalkan kena dengan caranya.


Kesilapan seterusnya, menghukum sesuatu jemaah dakwah berdasarkan tindakan beberapa orang ahlinya. Oleh kerana beberapa orang ahli jemaah itu pernah terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik, maka kita hukum jemaah itu tidak baik. Alasan kita, “Tengoklah hasilnya. Kalau jemaah itu betul, tentu hasilnya baik.”
Kalau inilah hujahnya, tak perlulah umat Islam menghantar anak-anak ke sekolah kerana kebanyakan penjenayah hari ini pernah bersekolah belaka. Takkanlah kita nak berhujah, “Tengoklah hasilnya. Kalau sekolah itu betul, tentu hasilnya baik.”

bersambung...

SUMBER:
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=126

PERMASALAHAN BERKAITAN HAID



SOALAN:
Adakah suami boleh makan dan minum bersama isteri yang sedang haid?

JAWAPAN:


Ada sebahagian orang yang menyangka bahawa dari maksud firman Allah SWT :


Maksud firman Allah SWT:
Adalah jauhilah (termasuklah jangan ‘makan’ bersama) mereka sewaktu haid.”
(Al-Baqarah: 222)

Rasulullah saw menerangkan bahawa tidak demikian maksud ayatnya (bukan bermaksud tak boleh duduk dekat-dekat). Tetapi apa yang dimaksudkan hanyalah agar jangan melakukan persetubuhan dengan mereka yakni isteri.

Aisyah menceritakan:


Saya minum ketika sedang haid, lalu minuman itu saya berikan kepada Rasulullah saw. Maka ditempelkan mulut baginda kepadaku, baru sesudah itu baginda minum. Dan pernah juga ketika saya sedang haid, saya memakan daging yang masih lekat pada tulang, lalu saya berikan daging itu kepada Rasulullah saw. Maka baginda tempelkan mulutnya pada salah satu tempat dari tubuhku.”
(Hadis riwayat jamaah selain al-Bukhari & At-Tirmizi)

Dan dari Abdullah bin Said, bahawa dia mengatakan: “Pernah aku tanyakan kepada Rasulullah saw tentang makan bersama isteri yang sedang haid, maka jawab baginda: “Makanlah bersamanya.”
(Ahmad, Abu Daud & Tirmizi)

Thursday, October 8, 2009

MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (Bhgn 6)



Untuk menjadi pendakwah, mahu tidak mahu kita terpaksa menerima bimbingan daripada orang lain sama ada sikit ataupun banyak. Nabi Muhammad sendiri dibimbing oleh Jibril dan para sahabat dibimbing oleh baginda. Begitulah seterusnya. Tidak mudah-mudah kita merujuk terus kepada sumber asal iaitu Al Quran dan as-Sunnah lalu hendak mengasaskan dakwah kita sendiri.


Kita faham, manusia ada ego sendiri. Kita ada ego sendiri. Saya ada ego sendiri. Cuma kita kena ingat, kita mungkin mahir dalam bidang kita namun kita belum mahir dalam bidang dakwah. Berdakwah ada seni tertentu, bukan main hentam saja. Ada orang beranggapan, ada ilmu agama pandailah dakwah. Ini tidak semestinya. Ada orang faham kalau lulusan agama tentu berupaya berdoa mengusir jin yang masuk ke dalam tubuh seseorang. Ini tidak semestinya.

Banyak lulusan agama tetapi dakwahnya kurang menjadi. Ada pula yang bukan lulusan agama tetapi dakwahnya berkesan. Ilmu agama dengan seni berdakwah adalah dua perkara yang berbeza meskipun mempunyai perkaitan yang rapat. Ilmu agama dengan kemahiran berdoa adalah dua perkara berbeza, meskipun mempunyai perkaitan yang rapat. Ada yang bukan lulusan agama tapi doanya selalu makbul.

Sebenarnya banyak manusia yang tidak mahu menerima tunjuk ajar dalam berdakwah, lebih-lebih lagi kalau dia lulusan agama. Dirasakan dirinya serba tahu tentang agama termasuklah dakwah. Dialah yang layak memberi tunjuk ajar, bukan menerima tunjuk ajar. Sikap ini merugikan banyak pihak.

Ilmu dakwah adalah ilmu yang hidup. Ia bergerak menyesuaikan dirinya dengan peredaran zaman. Sebab itulah didatangkan para mujaddid untuk setiap kurun. Mereka memperbaharui teknik dakwah dari semasa ke semasa. Oleh itu, apa teknik yang dipraktikkan umat dua tiga kurun yang lepas, belum tentu sesuai untuk kurun ini. Sebahagiannya tidak relevan lagi. Apa yang kita tahu dan amalkan sepuluh tahun yang lalu, belum tentu ia sesuai untuk hari ini. Apa yang kita praktikkan semasa menuntut di universiti dulu, boleh jadi sudah lapok pada hari ini. Dan apa yang kita pelajari hari ini, belum tentu sesuai untuk 10 tahun akan datang. Jangan biarkan diri kita ketinggalan.

Orang-orang yang ketinggalan ini biasanya akan berfaham ketinggalan juga. Dulu pernah kita dengar beberapa orang yang bertaraf ulama mengharamkan mesin cetak, menyebabkan umat Islam ketinggalan hampir seratus tahun dalam penghasilan bahan-bahan bacaan berbanding orang-orang Kristian. Ada pula yang mengharamkan terus tali leher, baju kot, topi “cowboy”, keyboard, gitar, konsert Islamik, televisyen, radio dan sebagainya. Ini semua melemahkan umat dan dakwah.

bersambung...

Sumber:
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=125

PERMASALAHAN BERKAITAN HAID



PERSOALAN


Apakah yang boleh dilakukan oleh suami terhadap isterinya ketika isterinya sedang haid?

JAWAPAN

Suami boleh menyentuh tubuh isterinya kecuali faraj ketika isterinya sedang didatangi haid. Ini berdasarkan kepada Firman Allah SWT dan beberapa hadis Nabi.

Maksud Firman Allah SWT:
“Jika ditanya orang kepadamu (ya Muhammad) mengenai haid, katakanlah ia adalah sesuatu yang kotor, sebab itu hindarkanlah (jauhilah) isteri kamu ketika dalam haid, janganlah setubuhi/ menjimak mereka sehingga mereka suci. Apabila mereka bersuci (sudah mandi wajib), bercampurlah dengan mereka seperti yang telah disuruh Allah. Sesungguhnya Allah mengasihani orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang bersuci.”
(Al-Baqarah: 222)

Hadis-hadis yang berkaitan:

“Dan dari Marwan bin Ajda’, katanya: “Pernah saya tanyakan kepada Aisyah ra, “Apakah yang boleh dilakukan laki-laki terhadap isterinya apabila sedang haid?” Maka jawab beliau: “Apa sahaja boleh selain farajnya.”
(Bukhari)

“Dan dari Hizam bin Hakim, dari bapa saudaranya bahawa bapa saudaranya itu pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah yang halal dari isteriku ketika ia sedang haid?” Jawab baginda: “Boleh kamu lakukan apa sahaja di atas kakinya.”
(Abu Daud)

“Dari Masruq bin Ajda’ katanya: “Aku tanyakan kepada Aisyah ra mengenai apakah yang diperkenankan bagi orang lelaki terhadap isterinya yang sedang dalam keadaan haid?” Jawab Aisyah: “Segala sesuatu selain kemaluannya.”
(Bukhari)

MENGENALI DARAH HAID



APAKAH PENGERTIAN HAID?

  • Haid ialah darah yang keluar dari faraj perempuan dalam keadaan sihat, bukan kerana melahirkan anak ataupun pecahnya selaput dara.

BAGAIMANA MENGENALI DARAH HAID?

  • Darah haid umumnya berwarna hitam ataupun merah.

Para ulama bersepakat berdasarkan hadis:

Dari Urwah, dari Fatimah binti Jahsy, bahawa ia mengeluarkan darah. Maka bersabdalah Nabi kepadanya: “Kalau itu darah haid, maka warnanya kelihatan hitam. Apabila demikian halnya, maka berhentilah kamu solat. Tetapi kalau tidak demikian, maka berwudhuklah lalu solat kerana itu hanyalah gangguan otot.” (HR Abu Daud)


BERAPA LAMAKAH MASA HAID BERLANGSUNG?

  • Darah haid keluar paling sedikit ialah selama sehari semalam, dan sebanyak-banyaknya pula ialah 15 hari. Kebiasaannya adalah antara 6-7 hari sahaja.


Dari Ar-Robi’ bin Shabih, bahawa dia pernah mendengar Anas (sahabat Nabi SAW) mengatakan:


“Haid tidak lebih dari sepuluh hari.” (HR Ad-Daruquthni)



Dalam pada itu Syaikh Mahmud Khittab As-Subki mengatakan:


“Tidak diragukan lagi bahawa masa haid yang tiga atau sepuluh hari itu tidak dipersyaratkan keluarnya darah terus-menerus selama itu tanpa ada hentinya. Tetapi yang penting darah itu keluar pada awal dan akhir masa haid. Bahkan kalau seorang wanita itu melihat dirinya mengeluarkan darah pada saat terbit fajar di hari Sabtu umpamanya, dan darah itu terus-menerus keluar dan baru berhenti ketika terbenam matahari pada hari Isnin, itu bukanlah darah haid.”



Kemudian dari ‘Uthman bin Abi Al-Ash ra bahawa dia mengatakan:


“Bila bagi wanita mengeluarkan haid lebih dari sepuluh hari, maka kedudukannya seperti wanita yang istihadhah. Dia wajib mandi lalu solat.” (HR Ad-Daruquthni)