www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Friday, February 5, 2010

Kemurkaan Allah terhadap Nabi Adam

NABI Adam dan isterinya telah melanggar larangan Allah daripada memakan buah khuldi. Allah telah berpesan kepada Nabi Adam bahawa jangan mendekati pokok khuldi itu. Allah juga mengingatkan baginda bahawa iblis itu adalah musuhnya, tetapi baginda masih terpedaya dengan pujukan iblis tersebut.
Dengan perasaan sedih dan penuh penyesalan, Nabi Adam dan isterinya, Hawa meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Nabi Adam berkata bahawa sesungguhnya baginda telah menganiaya dirinya sendiri.
Sekiranya Allah tidak mengampuni dirinya, baginda akan menjadi seorang yang rugi untuk selama-lamanya.
Dengan nada marah, Allah berfirman kepada Nabi Adam dengan mengatakan bahawa Dia telah memberikan tempat untuk Nabi Adam dan isterinya di syurga yang penuh dengan segala bentuk nikmat. Cuma satu yang dilarang iaitu memakan buah khuldi tetapi buah itu ternyata lebih diinginkan oleh Nabi Adam berbanding dengan segala isi lain yang ada di syurga.
Nabi Adam berasa sangat sedih apabila mendengar firman Allah itu. Air mata baginda dan isterinya jatuh berlinangan tanpa henti. Nabi Adam mengatakan bahawa baginda sungguh tidak menyangka iblis sanggup berbohong kepadanya dengan bersumpah atas nama Allah.
Allah memutuskan bahawa Nabi Adam dan isterinya harus meninggalkan syurga. Mereka akan diturunkan ke bumi. Di bumi mereka akan bersusah payah, mencurahkan keringat dan air mata untuk mencari rezeki.
Dengan air mata yang berlinangan, disulami dengan perasaan sedih dan takut, Nabi Adam bersimpuh sambil menundukkan kepala dan meminta ampun, "Tuhanku! Tuhanku! Ampunilah aku! Ampunilah aku!"
Air mata Nabi Adam dan isterinya semakin banyak bercucuran. Kedua-duanya menangis tersedu-sedu sambil menanggung penyesalan yang tidak terkira di atas kesalahan yang dilakukan akibat terpedaya dengan pujukan iblis itu.

Sumber