www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Saturday, July 30, 2011

Hakikat Ibadah Puasa

Sabda Rasulullah SAW:

“Puasa itu separuh daripada sabar.”
(Turmizi & Ibnu Majah)

Dan baginda juga pernah bersabda:

“Sabar itu separuh daripada iman.”
(Abu Naim)

Berpandukan maksud kedua-dua hadith di atas, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa puasa itu ¼ (suku) daripada iman. Sesiapa yang tidak menunaikan puasa, bermakna dia telah kehilangan 25% daripada imannya sekalipun dia rajin melakukan ibadah-ibadah lain.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadith Qudsi pula:

“Setiap perbuatan yang baik, pahalanya sepuluh kali sampai kepada tujuh ratus kali, selain daripada puasa. Maka puasa itu adalah bagi-Ku dan Aku akan membalasnya.”
(Bukhari & Muslim)

Daripada hadith ini pula, fahamlah kita rupa-rupanya pahala untuk orang-orang yang berpuasa teramatlah besar. Apabila kita melakukan sesuatu amal yang baik, pahalanya terhad kepada tujuh ratus kali sahaja sedangkan untuk ibadah puasa… Allah saja yang tahu ganjarannya. Alangkah ruginya mereka yang tidak berpuasa.

Ini bersesuaian sekali dengan firman Allah SWT dalam Al Quran, surah Az Zumar ayat 10 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dibayar pahala mereka dengan tiada terbatas.”

Oleh kerana sabar itu separuh daripada iman, dan puasa itu pula separuh daripada sabar, maka ganjaran pahala yang disediakan oleh Allah SWT Yang Maha Pemurah untuk orang-orang yang berpuasa adalah tidak terbatas. Alangkah pemurahnya Tuhan. Sudah sewajibnyalah kita menjadi hamba yang bersyukur.

Berikut adalah beberapa berita gembira untuk orang-orang yang berpuasa, yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith baginda:

“Syurga itu mempunyai sebuah pintu yang dinamakan Ar Rayyan yang tidak memasuki pintu itu selain daripada orang-orang yang berpuasa. Dan dijanjikan dengan menjumpai Allah Taala pada balasan puasanya.”
(Bukhari & Muslim)

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu yang diberi nama Ar Rayyan, pada hari qiamat nanti, orang-orang yang berpuasa akan melaluinya, dan dilarang masuk selain daripada mereka, dan jika mereka semua sudah masuk maka pintu itu akan ditutup.”
(Bukhari, Muslim, Turmizi & An Nasa’I)

“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya (nanti).”
(Bukhari & Muslim)

“Apabila masuk bulan Ramadhan, maka terbukalah segala pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan.
(Turmizi)

“Demi Zat yang menguasai jiwa Muhammad, sungguh bau mulut seorang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi…”
(Bukhari & Muslim)

Oleh itu, tidak perlulah kita bersugi kerana khuatir mulut berbau busuk lebih-lebih lagi setelah gelincir matahari, makruh hukumnya.

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti (pula) dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seolah-olah telah berpuasa setahun.”
(Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dll)

Sama-samalah kita berusaha mendapatkan puasa 6 pada bulan Syawal ini.

“Barangsiapa yang bangun (beribadah) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. Dan barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Bukhari, Muslim dll)

Dalam hadith ini, Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa-dosa yang lalu sebagai hadiah untuk orang-orang yang berpuasa dengan syarat puasanya mestilah semata-mata kerana Allah, bukannya kerana dipaksa atau terpaksa. Mereka yang berpuasa kerana malu dengan jiran-jiran, kerana dipaksa oleh keluarga, kerana mengikut budaya setempat, kerana menunjukkan kealimannya dan kerana tujuan-tujuan lain yang bukan semata-mata kerana Tuhan… tidak termasuk ke dalam perjanjian ini. Oleh itu, marilah kita sama-sama menanamkan rasa cinta kepada ibadah puasa dan bulan Ramadhan serta menunaikannya semata-mata Allah.

Berita gembira seterusnya, sabda Rasulullah SAW:

“Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di mana dia berada di jalan Allah kecuali dengan berpuasa sehari itu Allah akan menjauhkan dirinya dari api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”
(Bukhari, Muslim dll)

Bagi mereka yang berpuasa sedangkan dia berada di jalan Allah seperti keluar berperang, berdakwah, menuntut ilmu dan seumpamanya, maka lebih besarlah ganjarannya sebagaimana dalam hadith di atas.

Imam Al Ghazali memasukkan dua buah lagi hadith berikut dalam kitabnya yang terkenal iaitu Ihya’ Ulumiddin:

“Tiap-tiap sesuatu itu mempunyai pintu, dan pintu ibadah itu adalah puasa.”

“Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah.”

Diceritakan dalam sebuah hadith bahawa Abu Umamah r.a. pernah menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, perintahkanlah kepada saya untuk melakukan suatu amalan.” Baginda bersabda: “Kerjakanlah puasa, kerana tidak ada amalan yang setanding dengannya.”
(An Nasa’i & Ibnu Khuzaimah)

Amar beruntunglah orang-orang yang mengerjakan puasa sama ada yang wajib atau pun yang sunat kerana tidak ada amalan lain yang setanding dengannya.
Namun begitu, untuk mendapat semua ganjaran-ganjaran besar yang dijanjikan Allah SWT ini, marilah kita sama-sama menilai di manakah letaknya ibadah puasa kita memandangkan ibadah puasa itu berada pada tiga tingkat:

1. Tingkat yang bawah- puasa umum/ awam iaitu orang yang berpuasa dan menjaga daripada makan minum dan bersetubuh sahaja
2. Tingkat sederhana- puasa khusus iaitu orang yang berpuasa itu turut menjaga telinga, mata, lidah, tangan, kaki dan lain-lain anggota
3. Tingkat tertinggi- puasa paling khusus iaitu orang yang ibadah puasanya bersangkut dengan Allah secara keseluruhannya.

Akhirnya, dengan berpuasa juga kita dapat menyekat perjalanan syaitan di dalam tubuh badan kita sebagaimana maksud hadith berikut:

“Bahawa syaitan itu berjalan dari anak Adam pada tempat jalan darahnya, maka sempitkanlah tempat jalannya dengan berlapar.”
(Bukhari & Muslim)

Selalunya kita banyak makan dan minum, menyebabkan saluran darah kita mengembang. Saluran darah merupakan tempat syaitan-syaitan berjalan dalam tubuh kita. Apabila kita berpuasa, saluran darah itu akan mengecil menyebabkan tidak banyak syaitan yang masuk. Kalau adapun perjalanannya tidak lancar, Apabila aktivitinya tersekat, kita akan rasa lebih ringan untuk melakukan ibadah dan taat segala perintah Allah.

Sumber

Ramadan anugerah Allah untuk ummah

MASA berlalu pantas meninggalkan kita sehingga tidak terasa Ramadan menjelang lagi dengan cabaran baru bakal ditempuhi setiap Muslim. Sunnatullah terhadap masa yang berlalu dan bakal mendatang akan terus dirasai sehinggalah tibanya hari penentuan.

Ramadan adalah bukti Allah memuliakan hambanya dengan rahmat dan keampunan. Tanda keimanan jelas terpancar pada wajah mereka yang beriman menandakan kegirangan menyambut bulan mulia ini.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa bergembira apabila datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.” (Al-Hadis).

Allah juga menyebut mengenai iman pada permulaan ayat puasa dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu menunaikan ibadat puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka yang datang sebelum kamu semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Ibadat puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan bagi menyahut seruan Allah serta menuntut keredaan-Nya menunjukkan keimanan seseorang. Hadis menyebut ibadat semua anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa kerana puasa adalah untuk Allah dan Allah melipatgandakan pahala mengikut kehendak-Nya.

Pembersihan jiwa serta pencetus amalan kebaikan wujud melalui ibadat puasa yang dilakukan bersungguh-sungguh.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan akan mendapat keampunan dari segala kesalahan dilakukan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Jelaslah jiwa bersih daripada dosa akan melahirkan amalan baik dan mulia. Doa berterusan pada Ramadan amat digalakkan Allah sehingga ada ayat menyebut mengenai doa disusun selepas datangnya ayat puasa.

Firman Allah bermaksud: “Apabila hambaku berdoa, maka aku amat hampir kepadanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Ramadan diserikan lagi dengan pembebasan umat daripada musuh utama mereka iaitu syaitan dan pintu langit dibuka seluas-luasnya untuk menerima amalan kebajikan dilakukan.

Sabda Nabi SAW: “Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu langit dan ditutup pintu neraka serta syaitan dibelenggu pada bulan itu.” (Hadis sahih).

Orang beriman berhak mendapat keampunan dan janji syurga disebabkan kejayaan mengekang hawa nafsu yang sentiasa menginginkan kelazatan. Ulama menyebut kelazatan dunia empat perkara utama iaitu makan, minum, tidur dan bersetubuh.

Bersempena Ramadan yang diturunkan al-Quran, maka puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada umat pada hari kiamat. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada tuannya pada Hari Kiamat.” (Al-Hadis).

Ada riwayat menyebut, puasa akan menjadi saksi dengan berkata: Aku menghalangnya daripada makan dan minum pada Ramadan dan al-Quran berkata: Aku mengurangkan tidurnya. Maka kedua-duanya akan memohon syafaat daripada Allah untuk mereka yang berpuasa.

Imam Malik yang juga ahli hadis terkenal meninggalkan pengajaran hadisnya dan beralih kepada tilawah al-Quran apabila tibanya Ramadan.

Fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal sudah mula tersenyum kerana tangan mulia akan menghulurkan bantuan kerana gandaan pahala pada Ramadan. Semua kebajikan itu menolak bencana dan bala kerana sedekah akan memadamkan api kemurkaan Allah.

Malam Ramadan dihiasi solat tarawih yang tiada pada bulan lain dan padanya ada satu malam lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar.

Diriwayatkan oleh Anas: “Sesiapa yang menghadirkan diri ke majlis ilmu pada Ramadan, Allah akan menulis pahala ganjaran pada setiap langkah selama setahun dan mereka yang berterusan solat berjemaah akan disediakan baginya sebuah singgahsana dipenuhi nikmat bagi setiap rakaat dilakukan.” (Hadis Fadilat Amalan).

Marilah kita memanfaatkan Ramadan kali ini dengan ibadat berterusan dan memastikan kelainan berbanding tahun lalu.

Sumber

Kongsi ilmu sedekah terbaik

APABILA menyebut mengenai ilmu, saya ingin berkongsi kata-kata hikmah Imam al-Ghazali dalam nasihat al-Muluk. Beliau mengatakan, manusia ada empat kategori. Pertama, seorang berpengetahuan dan tahu apa yang dia tahu. Dialah orang berilmu.

Kedua, orang berpengetahuan, tetapi dia tidak tahu apa yang dia tahu. Dialah pelupa. Hendaklah kamu mengingatkannya. Ketiga, orang tidak berpengetahuan dan sedar dia tidak tahu. Dia memerlukan tunjuk ajar. Hendaklah kamu mengajarnya.

Keempat, orang tidak berpengetahuan tetapi tidak tahu apa dia tidak tahu. Dialah orang yang bodoh. Hendaklah kamu memberikannya ilmu pengetahuan. Sudah tentu kita tidak mahu berada dalam kategori manusia terakhir.

Tetapi apabila direnungi, sejauh mana semangat kita menerokai dan berkongsi ilmu dalam persekitaran? Mungkin kita terfikir sejenak dan terbayang kesibukan setiap hari menguruskan rumah tangga, keluarga, kerja dan masyarakat.

Ini antara alasan sering disebut-sebut. Sedangkan apabila kita membaca kisah sahabat dan tabiin yang sanggup mengembara jauh dari Madinah ke Damsyik, semata-mata mencari ilmu, kita patut rasa malu pada diri sendiri dan kagum dengan mereka.

Mereka bermusafir hanya untuk mempelajari satu hadis daripada sahabat yang mendengar sendiri daripada Baginda Rasulullah SAW. Mereka memiliki semangat dan kecintaan tinggi terhadap ilmu.
Antara kisah masyhur ialah Said al-Musayyab, Abu Darda’ dikenali sebagai hakim al-ummah (kebijaksanaan umat) dan Abdullah Abbas, dikenali dengan hibr al-ummah (yang terpelajar dalam kalangan umat Islam) dan bahr al-ulum (lautan ilmu pengetahuan).

Hebatnya semangat mereka menjunjung ilmu walaupun terpaksa menempuh kepayahan sehingga melahirkan tamadun Islam yang gemilang. Semangat mereka itu patut kita jadikan iktibar selepas Allah dan Rasul-Nya membentangkan segala kelebihan ilmu kepada kita.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa Allah inginkan kebaikan kepadanya, maka Dia akan memberikan kepadanya pemahaman mendalam dalam urusan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini membuktikan kebaikan tidak akan terhasil tanpa pemahaman ilmu membawa kepada kebaikan iaitu ilmu agama itu sendiri. Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk.

Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan.

Kepentingan ilmu termaktub dalam wahyu Allah, surah al-Alaq. Ibn Kathir dalam tafsirnya menerangkan ayat itu menunjukkan rahmat dan nikmat pertama Allah kepada hamba-Nya iaitu memerintahkan mereka mempelajari ilmu pengetahuan serta mengajarkan apa yang tidak diketahui.

Hal ini terlebih dulu dilakukan dengan mengurniakan serta memuliakan kita dengan akal. Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah mengatakan, umat Islam mendapat kedudukan mulia dan tinggi dalam dunia apabila mereka mempunyai ilmu pengetahuan.

Oleh itu, antara usaha Rasulullah SAW ialah meminta tawanan musyrikin dalam Perang Badar mengajar umat Islam membaca sebagai syarat tebusan.

Selaras tumpuan pembangunan masyarakat berteraskan pengetahuan yang diistilahkan sebagai K-Society, dalam alam pekerjaan ia perlu terus diberikan penekanan tinggi. Penguasaan ilmu secara langsung melalui kelayakan akademik semata-mata belum mencukupi menjamin kecemerlangan.

Sebaliknya, mereka yang kurang baik pencapaian akademik juga boleh mencapai kecemerlangan dalam kerjaya jika terus meningkatkan pengetahuan melalui pembelajaran berterusan sebagai usaha pembangunan kendiri.

Begitu juga bagi yang berada pada tahap tinggi dalam perjawatan, perkongsian bijak perlu digalakkan dalam organisasi supaya pengetahuan mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah pencapaian matlamat organisasi.

Ilmu pengetahuan itu bermanfaat apabila diamal dan dikongsi dengan orang lain. Ia menjadi sedekah paling baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pembudayaan ilmu adalah warisan Rasulullah SAW yang tidak ternilai. Justeru, pelihara warisan ini serta marilah kita menyemarakkan budaya penerokaan ilmu dalam persekitaran kerja untuk manfaat diri dan organisasi.

Sumber

Thursday, July 28, 2011

Bicara al-Quran mengenai kurma

BULAN Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun ini seperti juga kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.

Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.

Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.

Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.

Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut sekali.

Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.

Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan 'ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang paling bermutu.

Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang sama.

Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An'am: 99)

Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.

Nikmat yang wajib disyukuri

Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-An'am: 141)

Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.

Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum 'Ad yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.

Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun'aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).

Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.

Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.

Golongan yang ingkar

Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.

Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.

Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.

Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat keadaan mereka.

Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.

Kisah Maryam

Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.

Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.

Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.

Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.

Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.

Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.

Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.

Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.

Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.

Sumber

Berpurdah untuk menjaga kehormatan


PENDAKWAH kulit putih terkenal, Yusuf Islam dan isterinya, Fowzia Mubarak (kanan sekali) bersama anak dan cucu begitu banyak memberikan sumbangan kepada Islam untuk terus bertapak di United Kingdom.


PARA PENONTON yang mengikuti siaran langsung saluran Channel 4 yang popular di England, begitu terkejut dengan penampilan seorang wanita berpurdah di kaca televisyen pada sambutan Hari Krismas tahun lalu.

Ia berlaku sejurus Ratu Elizabeth II menyampaikan ucapan sempena Hari Krismas. Tidak berselang lama selepas itu, wanita yang hanya menampakkan sepasang mata ini, muncul.

Tujuannya untuk memberi wanita itu peluang menyampaikan pesanan melalui apa yang dipanggil sebagai Pesanan Alternatif Krismas. Iaitu pesanan yang cukup berbeza berbanding ucapan oleh baginda Ratu England.

Kemunculannya menyebabkan penonton terpaku. Masing-masing tertanya-tanya, wajah siapakah di sebalik purdah itu. Yang pasti wanita itu sudah tentu seorang Islam.

Daripada suaranya para penonton dapat mengenal pasti bahawa wanita tersebut adalah rakyat British atau dengan lain perkataan dia adalah wanita berkulit putih seperti sebahagian besar penonton itu yang sedang menonton program itu.

Ini kerana loghat Inggerisnya agak pekat dan asli sebagaimana warga England yang lain juga.

Penampilannya dalam program yang dihos oleh Jack Straw itu dikatakan sebagai peluang yang diberi oleh saluran televisyen itu bagi memperbetulkan banyak salah tanggapan mengenai Islam, terutamanya apabila wanita Islam memilih untuk berpurdah.

Lalu wanita yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Khadijah itu terus mengambil peluang itu dengan mengkritik mereka yang berpandangan salah mengenai purdah termasuk ada yang menyebutnya sebagai jilbab, burqa dan niqab.

"Purdah ini sebenarnya perisai bagi kaum wanita. Tidak sekadar soal identiti tetapi lebih kepada soal perlindungan daripada segala macam ancaman dan menghalang si pemakai itu mendekati perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri mereka sendiri," ujar Khadijah.

Beliau menguatkan lagi hujahnya bersandarkan dalil al-Quran yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…. (an-Nur: 31)

Sehingga ke akhir rancangan, para penonton ditinggalkan dalam keadaan penuh tanda tanya, siapa gerangan di sebalik purdah itu.

Sehinggalah akhbar Daily Mail akhirnya berjaya menemui dan membuat pendedahan mengenai, siapa Khadijah.

Wanita yang patuh berpurdah itu adalah Elaine Atkinson, 43, iaitu seorang warga Britain sebelum menukarkannya kepada Khadijah Iqbal selepas memeluk Islam pada tahun 1996.

Beliau setuju muncul di kaca televisyen apabila pihak stesen menghormati permintaannya untuk muncul dengan identitinya yang berpurdah.

"Itu sudah cukup bagi membolehkan para penonton fokus pada kata-kata saya, bukannya keperibadian saya," kata Khadijah.

Sejurus beliau berpurdah maka Khadijah mengaku ramai yang menuduhnya masuk ke dalam kelompok Islam radikal.

Namun beliau menafikan, kerana purdah tidak bermakna menjadi lambang sesuatu yang radikal. Beliau sendiri seorang yang berfikiran sederhana dalam serba serbi.

"Saya memilih berpurdah dengan penuh kesedaran. Ia semata-mata untuk melindungi diri kerana dengan wajah yang separa bertutup ini ia sebenarnya satu lambang kebebasan kepada seseorang wanita itu untuk mempertahankan haknya yang paling utama, soal keselamatan," jelasnya.

Menurut Khadijah, Islam membuatkannya mempunyai panduan yang jelas untuk diikuti dan dipatuhi dalam hidup.

"Tidak sahaja dalam soal jaminan keselamatan dengan menutup aurat, bahkan dalam apa juga aspek.

"Selagi tidak memeluk Islam, seseorang itu tidak ubahnya seperti tikus atau hamster yang hanya tahu berputar-putar pada roda mainan yang diletakkan dalam sangkar mereka, tanpa arah tujuan," katanya.

Sumber

Wednesday, July 27, 2011

Mubaligh Islam disambut dengan perang

ROMBONGAN mubaligh yang ingin berdakwah ke Najd, tidak menyangka mereka akan menjadi serangan Amir bin Tufail. Setelah Haram bin Milhan dibunuh anggota rombongan itu kini tinggal 69 orang.

Mereka dikepung segenap penjuru apabila Amir Tufail turut mendapat bantuan anggota kabilah-kabilah yang lain untuk menyerang rombongan itu.

Dikatakan kabilah-kabilah lain itu terdiri daripada Bani Sulaim, Bani Ushayyah, Bani Ri'al dan Bani Zakwan yang dijanjikan upah lumayan jika dapat membantu Amir.

Maka terjadilah pertempuran kecil namun sengit antara mereka dengan jumlah musuh jauh lebih ramai berbanding rombongan mubaligh itu.

Walau jumlah kecil, rombongan pendakwah Islam tetap memberi tentangan hebat. Mereka sama sekali tidak menyerah, kecuali menyerah diri kepada Allah supaya pendirian tidak akan berubah untuk bertindak belot jika semata-mata mahu menyelamatkan diri.

Malangnya, rombongan Islam itu tidak mampu bertahan. Di akhir serangan, hampir kesemuanya syahid.

Hanya dua orang yang terselamat dalam serangan itu iaitu Kaab bin Zaid dan Amir bin Umayyah.

Itupun setelah mereka berpura-pura mati kerana luka parah.

Setelah serangan berakhir dan pihak musuh meninggalkan begitu sahaja jenazah-jenazah para pengikut Rasulullah itu, Kaab dan Amir pun sedaya upaya bangun dan segera menuju ke Madinah bagi memberitahu apa yang terjadi kepada Rasulullah.

Di sebalik kecederaan parah yang ditanggung akibat serangan itu, mereka kuatkan semangat untuk terus bergerak dan akhirnya mereka berjaya sampai kepada Rasulullah.

Tentu sahaja Rasulullah luluh hati mendengar apa yang terjadi. Baginda tidak menyangka begitu buruk nasib yang menimpa para pengikutnya.

Dalam hati baginda mengutuk Abu Barra yang kononnya berjanji bagi memastikan keselamatan rombongan para pendakwah itu.

Yang menambah kekesalan dan kesedihan di hati Rasulullah ialah apabila mengenangkan mereka yang terkorban itu adalah individu-individu Muslim yang terbaik, dan terpilih. Mereka adalah hafiz al-Quran dan yang sangat alim.

Ia ditambah pula dengan jumlah korban yang sebegitu ramai, hampir menyamai jumlah mereka yang terkorban dalam Perang Uhud, iaitu hampir seramai 70 orang.

Jadi, bagaimana baginda tidak sedih dan mengalirkan air mata.

Lalu baginda kemudiannya melakukan doa qunut nazilah selama hampir sebulan supaya mereka yang menyerang para pengikut baginda itu ditimpa kecelakaan, musibah besar atau bala.

Di pihak Abu Barra pula dikatakan dia juga begitu terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa rombongan berkenaan.

Beliau sangat malu dengan Nabi kerana gagal mengotakan janji akan soal keselamatan para ahli rombongan itu.

Tentu sahaja apa sahaja selepas ini, baginda tidak akan mempercayainya lagi.

Abu Barra dikatakan amat sedih dan kesal atas peristiwa Bir Maunah itu (sesetengah memanggil peristiwa ini sebagai Peristiwa Pasukan Al Qurra) sehingga memakan dirinya atau lebih tepat, sehingga membawa kepada kematiannya sendiri.

Abu Barra akhirnya mati kerana rasa malu yang tidak tertanggung itu.

Kematian Abu Barra menyebabkan salah seorang anak lelakinya, Rabiah membalas dendam. Rabiah tahu kematian bapa kesayangannya itu disebabkan oleh tindakan bodoh lagi kejam Amir.

Lalu sebagai anak muda dan anak kepada seorang pahlawan, Rabiah pun terus mencari Amir bagi menuntut bela bagi pihak bapanya. Sebaik sahaja beliau dapat berhadapan dengan Amir yang menyangka Rabiah datang semata-mata untuk melepaskan rindu, lalu dia pun ditikam dengan sebatang tombak dan mati serta merta.

Sumber

Ramadan dan zakat fitrah

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi kita akan menjadi penghuni madrasah Ramadan. Bulan yang penuh dengan keberkatan. Setiap individu yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, pastinya tidak sabar menanti bulan yang kaya dengan kelebihan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Madrasah Ramadan diharapkan menjadi medan tarbiah kepada diri kita semua untuk menyucikan jiwa dan membersihkan hati (tazkiyatun nafs) dari segala sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah.

Biasanya, apabila kita menyebutkan bulan Ramadan, lantas akan mengingatkan kita tentang kefarduan puasa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi sesiapa yang sempat berada di bulan ini.

Objektif tertinggi daripada ibadah puasa ini ialah melahirkan manusia yang bertaqwa kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah: 184)

Namun, berapa ramai yang hampir terlupa tentang kewajipan yang turut ditetapkan pada bulan istimewa ini iaitu membayar zakat fitrah.

Secara umumnya, zakat dalam sudut bahasa bermaksud kesuburan (al-numuww atau al-nama'), keberkatan (al-barakah) dan pertambahan baik (ziyadah al-khayr).

Memahami maksud zakat fitrah atau dikenali juga sebagai zakat badan dimaksudkan sebagai 'satu nama bagi apa yang dikeluarkan sebanyak satu sa' daripada tamar atau satu sa' daripada bijirin (sya'ir) di bulan Ramadan ke atas setiap manusia yang merdeka ataupun hamba sama ada lelaki atau perempuan daripada orang Islam'. (lihat al-iqna' fi hall al-fadz Abi Syuja', Muhammad al-Syarbini).

Takrifan ini sebenarnya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar yang bermaksud; Rasulullah mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum (riwayat Muslim).

Buku panduan zakat yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memberikan panduan bahawa satu sa' adalah bersamaan dengan satu gantang Baghdad. Satu gantang Baghdad pula bersamaan dengan 2.7 kilogram (kg). Ia perlu dikira berdasarkan makanan ruji di sesuatu tempat.

Contohnya, pada zaman Rasulullah, makanan ruji di tempat dan zaman tersebut adalah kurma dan gandum. Sementara, makanan ruji di Malaysia ialah beras. Maka kadar zakat fitrah bagi masyarakat Islam di Malaysia ialah mengikut harga beras semasa didarabkan dengan 2.7 kg.

Kewajipan zakat fitrah adalah berlainan dengan zakat harta. Zakat harta diwajibkan apabila harta tersebut mencapai kadar nisab yang mengikut harga emas semasa dan apabila mencukupi satu haul. Apabila telah sempurna syarat-syarat tersebut, maka hendaklah dikeluarkan sebanyak 2.5% daripada harta yang diwajibkan zakat itu.

Zakat fitrah pula diwajibkan kepada mereka yang mempunyai makanan yang cukup dari malam hari raya sehinggalah pagi hari raya mengikut kadar makanan yang menjadi kebiasaan kepada masyarakat setempat.

Sekiranya dihayati, zakat fitrah mempunyai syarat yang amat mudah yang kebiasaannya dapat dipenuhi oleh umat Islam. Ini menyebabkan hampir semua individu muslim menepati kewajipan membayar zakat fitrah.

Ia juga memberi ruang kepada golongan miskin untuk turut membayar zakat bagi membantu golongan yang lebih tidak berkemampuan. Dalam konteks ini, Islam telah menaikkan martabat golongan miskin kerana dapat memberikan sumbangan melalui zakat fitrah.

Zakat fitrah juga dapat memberikan bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk meraikan kedatangan hari raya selepas berakhirnya bulan Ramadan. Kegembiraan yang disambut oleh mereka dengan rasa syukur kepada Allah SWT akan menambahkan lagi pahala mereka yang membayar zakat fitrah.

Oleh sebab itu, sebahagian ulama tidak menggalakkan membayar zakat fitrah pada awal bulan Ramadan kerana ia boleh menjejaskan tujuan sebenar zakat fitrah iaitu membantu golongan miskin merayakan Aidilfitri.

Ia juga sejajar dengan perbuatan para sahabat r.a yang membayar zakat dalam jangka masa sehari atau dua hari sebelum hari raya. (riwayat al-Bukhari).

Waktu tunai zakat fitrah

Demikian juga Nabi SAW pula amat menggalakkan pembayaran zakat sebelum keluar menunaikan solat Aidilfitri. Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar yang bermaksud: "Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidilfitri).

Walaubagaimanapun, pada pandangan penulis, masa yang paling sesuai untuk pembayaran zakat fitrah bergantung kepada situasi dan keadaan seseorang itu.

Sekiranya individu berkenaan ingin menyerahkan sendiri zakat tersebut tanpa melalui amil zakat, maka dia boleh berbuat demikian pada masa yang terhampir dengan hari raya. Namun, sekiranya sumbangan zakat itu hendak dilakukan melalui amil zakat, maka adalah lebih baik dilaksanakan secepat mungkin menjelang Ramadan.

Ini bagi membolehkan para amil yang dilantik menyerahkan sumbangan tersebut kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Justeru, sebelum menyambut bulan Ramadhan pada tahun ini, marilah sama-sama kita membuat persiapan. Mental, fizikal dan spiritual kita perlu diperkuatkan dengan semaian iman agar madrasah Ramadan dilalui dengan cemerlang, sehingga menatijahkan darjat ketaqwaan kepada Allah.

Di samping kita berpuasa Ramadan, lengkapkanlah puasa tersebut dengan menunaikan zakat fitrah. Ini kerana, zakat fitrah akan dapat menampung segala kelemahan dan kekurangan dalam menjalani ibadah puasa Ramadan.

Ibnu Abbas r.a meriwayatkan: "Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin." (riwayat Abu Daud).

Sumber