www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Tuesday, December 22, 2009

Ar-Rubai mendoakan kebaikan anaknya

AR-RUBAI binti An-Nadhr ialah seorang wanita yang baik. Beliau mempunyai adik-beradik iaitu Anas dan Ummu Hakim. Dia juga mempunyai seorang bapa saudara yang bernama Anas bin Malik. Beliau adalah pembantu kepada Nabi Muhammad.

Ar-Rubai merupakan wanita yang awal memeluk agama Islam. Ar-Rubai berkahwin dengan Suraqah bin al-Haris an-Najjari. Hasil perkahwinan mereka lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Harisah.

Ar-Rubai atau dikenali dengan panggilan Ummu Harisah adalah seorang ibu yang pandai mendidik anaknya. Ar-Rubai selalu mendoakan agar anak lelakinya itu menjadi seorang pahlawan Islam yang handal.

"Harisah, sekarang awak sudah besar. Ibu mahu awak ikut Nabi Muhammad dalam siri peperangan," kata Ummu Harisah.

"Ibu, saya belum biasa memegang pedang. Apatah lagi menunggang kuda atau memanah," balas Harisah pula.

"Itu tidak menjadi masalah. Nabi Muhammad boleh menolong awak. Ibu percaya Nabi Muhammad boleh menyelesaikan masalah awak ini," kata Ummu Harisah.

"Baik ibu. Saya akan belajar bersungguh-sungguh teknik dan cara peperangan yang betul," jelas Harisah dengan bersemangat.

Harisah seorang anak yang baik dan taat kepada ibunya. Berkat nasihat dan doa dari ibunya, Harisah akhirnya menjadi seorang pemuda yang gagah berani.

Anaknya itu tidak gentar menghadapi musuh. Bahkan anaknya sering mengharapkan agar dirinya mati syahid di medan perang.

Pada suatu hari Nabi Muhammad berjumpa dengan Harisah lalu bertanya, "apa khabar awak sekarang?"
Lalu Harisah menjawab, "Saya sihat dan sejahtera. Saya kini sudah benar-benar merasakan betapa agungnya nikmat yang Allah berikan kepada saya. Hidup dan mati saya hanya kerana Allah," kata Harisah.
Nabi Muhammad pun berkata lagi, "hati awak kini sudah dipenuhi dengan keimanan kepada Allah".

Harisah bertambah semangat mendengar kata-kata Nabi Muhammad lalu dia menyambung lagi, "wahai Nabi Muhammad tolong doakan semoga saya berjaya mengalahkan musuh di medan perang. Sekiranya saya gugur di medan perang, doakan saya gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid".

Nabi Muhammad pun mendoakan semoga Harisah menjadi seorang yang syahid dalam peperangan melawan musuh Islam. Tiba masanya tentera Islam menghadapi musuh di Perang Badar pada tahun 2 Hijrah. Ummu Harisah tidak mahu anaknya melepaskan peluang keemasan itu.

Tenang

"Wahai Harisah, pergilah ikut Nabi Muhammad dan tentera Islam yang lain ke medan perang Badar. Berjuang sehabis-habisan demi menegakkan agama Islam," kata Ummu Harisah kepada anaknya.

"Doakan semoga tentera Islam berjaya di medan perang Badar," kata Harisah sambil berjabat tangan lalu mencium tangan ibunya.

Harisah pun berangkat bersama angkatan tentera Islam ke medan Perang Badar. Perang Badar berlaku kerana umat Islam ingin mempertahankan keselamatan orang Islam. Pihak Quraisy Mekah tidak serik menindas dan mengancam orang Islam Makkah pada masa itu.

Berkat doa Nabi Muhammad akhirnya Harisah mati syahid di medan Perang. Berita kematian anaknya sampai kepadanya. Ummu Harisah menerima berita itu dengan tenang. Dia berdoa semoga anaknya dimasukkan ke syurga.

Ummu Harisah terus berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu berkata, "wahai tuan, bagaimana keadaan Harisah. Sekiranya dia kini berada di syurga alangkah gembiranya saya. Tetapi jika sebaliknya saya amat sedih mendengar kematiannya".
Nabi Muhammad tersenyum lebar lalu berkata, "wahai Ummu Harisah, anak awak kini sedang berseronok di syurga Firdaus".

Alangkah gembiranya Ummu Harisah apabila Nabi Muhammad membawa berita itu.
"Alhamdulillah. Cita-cita Harisah untuk mati syahid akhirnya tercapai. Harisah kini bahagia di syurga yang paling tinggi," kata Ummu Harisah sendirian.

Ummu Harisah tidak ketinggalan melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Anak saudaranya yang bernama Anas bin Malik juga turut melaporkan hadis darinya.
Sepanjang hidupnya Ummu Harisah banyak menghabiskan masanya dengan melakukan amal ibadah kepada Allah.

Sumber

Wednesday, December 9, 2009

Ummu Khalid meninggalkan Kota Habsyah



NAMA sebenar Ummu Khalid ialah Amah binti Khalid. Bapanya bernama Khalid bin Said al-Ash merupakan seorang sahabat Nabi Muhammad. Ibunya bernama Umaimah binti Khalaf al-Khuzaiyah. Dia mempunyai saudara kandung bernama Said bin Khalid.

Ummu Khalid berkahwin dengan seorang lelaki bernama Az-Zubair bin al-Awwam. Hasil perkahwinan itu mereka telah mendapat dua orang anak iaitu Amru dan Khalid.
Ummu Khalid telah melaporkan sebanyak tujuh buah hadis dari Nabi Muhammad. Dia juga fasih berbahasa Habsyah kerana dia lahir dan tinggal bertahun-tahun di Habsyah.


Terjadi satu peristiwa ke atas Ummu Khalid iaitu semasa dia dan golongan Muhajirin berhijrah dari Habsyah ke Madinah. "Segala kelengkapan dan persiapan ke Madinah sudah disiapkan," kata seorang lelaki Muhajirin yang akan berangkat ke Madinah.
Orang Islam yang tinggal di Habsyah sudah tidak sabar-sabar untuk berhijrah ke Madinah. Mereka berangkat meninggalkan kota Habsyah dengan menggunakan kapal. Sebanyak dua buah kapal digunakan menuju ke Madinah.


"Terima kasih tuanku kerana selama patik di Habsyah ini, tuanku telah memberikan layanan yang baik kepada patik dan orang Islam yang lain," kata seorang wakil Islam Muhajirin.
"Sama-sama. Beta juga berterima kasih kepada kamu semua. Beta sudah banyak mempelajari ilmu agama Islam selama kamu semua berada di negeri beta ini," titah Raja Najasyi.
"Hari ini patik dan rombongan orang Islam yang lain akan meninggalkan Habsyah. Banyak kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan selama kami berada di sini," kata wakil itu lagi.
Raja Najasyi dan orang Islam Muhajirin bersalaman. Mereka masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk mengucapkan selamat tinggal.


"Sebelum beta terlupa, tolong sampaikan salam saya kepada Nabi Muhammad dengan lafaz Assalamualaikum," titah Raja Najasyi lagi.
Pada masa itu Ummu Khalid turut mendengar titah Raja Najasyi lalu dia menjawab, "Insya Allah, patik akan sampaikan salam tuanku kepada Nabi Muhammad nanti."
Kemudian, Raja Najasyi melambaikan tangan sambil bertitah lagi, "Apabila ada masa nanti jemput datang ke Habsyah lagi. Beta sentiasa menerima kedatangan kamu semua."
"Selamat tinggal tuanku," kata para Muhajirin yang sedang berada di atas kapal mereka.
"Ya, selamat tinggal. Sampai berjumpa lagi," titah Raja Najasyi.


Lalu berlayar kapal orang Islam Muhajirin sehingga sampai ke satu tempat. Tempat itu bernama Khaibar. Mereka berjumpa dengan Nabi Muhammad di Khaibar pada tahun 7 Hijrah.
Sampai sahaja di hadapan Nabi Muhammad, Ummu Khalid pun berkata, "Raja Najasyi ada menyampaikan salam buat tuan dengan lafaz Assalamualaikum.
Waalaikum salam, jawab Nabi Muhammad.


Tentera Islam baru sahaja menghadapi musuh di medan perang Khaibar. Berita kejayaan tentera Islam di Khaibar disambut baik oleh orang Islam. Orang Islam Muhajirin turut mendapat sebahagian dari harta rampasan perang. Selepas itu mereka pulang ke Madinah bersama-sama dengan Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad sangat menghormati Ummu Khalid. Pada suatu hari, Nabi Muhammad ingin memberikan hadiah kepada Ummu Khalid. Ummu Khalid telah dipanggil oleh Nabi Muhammad untuk berjumpanya.


"Hadiah ini untuk awak," kata Nabi Muhammad kepada Ummu Khalid.
"Terima kasih kerana memberikan hadiah yang sangat berharga buat saya," jawab Ummu Khalid. Hadiah itu berupa sejenis kain.
"Awak gunalah kain ini sehingga usang dan wariskan kepada orang lain," kata Nabi Muhammad lagi.


Nabi Muhammad berkata lagi, "Semoga awak dipanjangkan umur."
Ummu Khalid sangat gembira lalu memegang erat hadiah yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Berkat doa Nabi Muhammad, Allah telah mengurniakan umur yang panjang kepada Ummu Khalid. Dia dapat hidup sehingga tahun 90 Hijrah. Sepanjang hayatnya dia banyak melakukan amalan-amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad dalam kehidupan sehariannya.


Sumber