www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Tuesday, August 9, 2011

Bersedekah walau dengan sebiji kurma

SEMUA orang tahu sedekah itu besar pahalanya, malah sedekah boleh menjadi pendinding kita daripada api neraka. Walaupun bersedekah boleh dibuat pada bila-bila masa namun sepanjang bulan Ramadan, kecenderungan dan keghairahan bersedekah lebih tinggi.

Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). (Hadis nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Satu lagi hadis baginda bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali. Kemudian baginda bersabda, Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik. (Hadis nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Ini bermakna amalan bersedekah itu amat dituntut termasuk di kalangan mereka yang miskin. Penerima sedekah barangkali boleh memberi sebahagian daripada sedekah yang diterimanya kepada orang lain yang lebih memerlukan sedekah.

Dengan hanya sebelah buah kurma pun digalakkan bersedekah atau paling tidak pun bersedekah dalam bentuk menggunakan tutur kata yang baik, maknanya dalam konteks kita di Malaysia, tidak ada sebab untuk kita tidak bersedekah walaupun barangkali kita adalah merupakan orang sering diberi dan menerima sedekah.

Orang Malaysia tidak akan membeli hanya sebiji buah kurma untuk berbuka puasa, sebaliknya akan membeli sekotak dan akan dipilih daripada jenis yang baik, malah akan dipilih pula kurma yang diimport.

Tok fakir pun pilih kurma yang ada tangkai atau kurma segar untuk berbuka puasa. Namun, masih ramai umat Islam di negara kita yang memilih untuk menjadi penerima daripada memilih menjadi pemberi sedekah.

Ada yang sanggup sewa kereta berpemandu sehari suntuk untuk membawa satu keluarga meminta sedekah bermula pada minggu ketiga Ramadan dan jumlahnya akan bertambah bila 1 Syawal semakin dekat.

Daripada setiap tangan yang menghulur diharap paling kurang pun RM10. Kalau sekadar hulur RM5 atau RM1, apatah kalau 50 sen atau jumlahnya lebih kecil, pasti peminta sedekah akan tarik muka masam, malah siap dengan seranah lagi.

Kalau pemberi sedekah bertindak balas dengan kata-kata kesat juga, maka hilanglah pahala bersedekah. Anggap saja muka masam dan seranah penerima sedekah kita itu sebagai suatu bentuk ujian. Malah ia akan mendatangkan bonus pahala kepada kita kalau kita mampu bersabar.

Penerima sedekah yang mencerca pemberi sedekah atau tidak berpuas hati dengan jumlah sedekah yang diberikan akan menerima seksa yang pedih.

Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: Orang munafik, yakni mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka dengan seksaan yang pedih. (at-Taubah: 79)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Hai, wanita muslimat! Janganlah kamu meremehkan pemberian tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing. (Hadis nombor 988 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Di samping itu, pemberi sedekah pula dilarang menghitung-hitung sedekah yang diberi dan bakal diberi. Larangan itu terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari Asmai binti Abu Bakar r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah kamu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu, dan jangan kikir kerana Allah akan kikir pula kepadamu. (Hadis nombor 987 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Sumber

Jabal Abu Qubais



Rasulullah SAW pernah dibawa oleh datuknya, Abdul Mutalib ke puncak Jabal Qubais untuk berdoa memohon hujan.


JABAL Abu Qubais atau Jabal Qubais adalah sebuah tanah tinggi atau bukit di sebelah timur Mekah yang letaknya berdekatan dengan Masjidil Haram. Bukit ini berhadapan dengan Jabal Quayqian.

Jabal Abi Qubais disebut dalam as-Sirah an-Nabawiyah (buku pertama tentang sejarah Nabi Muhammad SAW) sebagai tempat yang biasa diziarahi orang-orang pada masa Jahiliah. Pada masa Islam, Jabal Qubais ini hanya disebut dalam hubungannya dengan penduduk Mekah, termasuk Abu Quhafah (ayah Abu Bakar As-Siddiq), yang naik ke bukit ini dan tempat-tempat tinggi lainnya untuk melihat dan menyaksikan pasukan Islam yang memasuki Mekah pada hari penaklukan Mekah.

Dalam al-Munjid (Penolong) karangan Louis Ma'luf disebutkan bahawa Jabal Abu Qubais pernah dijadikan tempat pelontaran manjaniq (alat pelontar batu dalam peperangan) oleh Hasin bin Numayr untuk dihalakan kepada pasukan Abdullah bin Zubair yang bertahan di Kaabah. Tembakan dengan manjaniq ini menyebabkan terbakarnya tirai atau kiswah Kaabah.

Cerita-cerita yang disebutkan dalam as-Sirah an-Nabawiyah dan Hayat Muhammad (Kehidupan Nabi SAW) oleh Dr. Heikal mengenai Jabal Abu Qubais pada umumnya dihubungkan dengan riwayat Muhammad SAW sebelum diangkat menjadi Rasul. Disebutkan pula, bahawa nama bukit itu diambil daripada nama seorang penduduk daripada Bani Jurhum, iaitu Qubais bin Syalikh, yang tewas di atas jabal (gunung) itu.

Dalam hubungannya dengan Nabi SAW, disebutkan bahawa ia pernah dibawa oleh datuknya Abdul Mutalib ke puncak Jabal Qubais untuk berdoa memohon hujan. Nabi SAW pada waktu itu masih kecil dan Mekah dilanda kemarau panjang. Seorang wanita, Raqiqah binti Abi Saifi bin Hasyim, dalam tidurnya bermimpi mendengar suara yang mengatakan bahawa dari kalangan kaum Quraisy akan muncul seorang Nabi.

Suara dalam mimpi itu juga memberinya petunjuk bagaimana cara meminta hujan agar dikabulkan Tuhan, iaitu penduduk harus meminta pemimpin mereka (Abdul Mutalib) agar membawa cucunya dan beberapa orang penduduk untuk berdoa bersama-sama. Terlebih dahulu mereka harus bersuci, mencium Hajar Aswad (batu hitam pada Kaabah) dan bertawaf sebanyak tujuh kali.

Peristiwa lain yang dihubungkan dengan Jabal Qubais adalah peristiwa Hilf al-Fudul. Seorang pemuda daripada Bani Zubaid dizalimi oleh Asif bin Wail, bangsawan Mekah, yang tidak mahu membayar harga barang dagangan yang dibawa pemuda itu. Orang ini mendatangi beberapa pemuda Quraisy untuk meminta pertolongan tetapi tidak ada seorang pun yang bersedia menolongnya.

Kerana kecewa, keesokan paginya ia naik ke puncak Jabal Abu Qubais dan meneriakkan keluhannya bahawa dia dizalimi dan berharap ada orang yang dapat menolongnya menghadapi orang yang menzaliminya.

Seruan orang itu disambut oleh Zubair bin Abdul Mutalib, bapa saudara Nabi s.a.w. Ia lalu memanggil tokoh-tokoh Bani Hasyim dan mengadakan perjumpaan di rumah Ibnu Jud'an yang membuahkan perjanjian Hilf al-Fudul yang bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap Asif bin Wail, sehingga ia membayar harga barang yang dibelinya daripada orang yang mengadu itu.

Jabal Abu Qubais juga muncul dalam mimpi Atiqah binti Abdul Mutalib di Mekah, tiga hari sebelum meletusnya Perang Badar. Dia bermimpi melihat seorang penunggang unta datang ke Mekah, kemudian masuk ke Masjidil Haram dengan diikuti orang ramai dan naik ke bumbung Kaabah serta berteriak memperingatkan penduduk akan datangnya bencana tiga hari kemudian.

Dari situ, dia turun dan naik ke Jabal Abu Qubais. Di puncak bukit itu, dia kembali memperingatkan orang ramai akan datangnya musibah. Setelah itu, dia mengambil batu besar dan melemparkannya. Setelah sampai ke bawah Jabal Abu Qubais, batu itu terpecah-pecah menjadi pecahan kecil yang bergerak memasuki semua rumah di Mekah.

Sewaktu Nabi Muhammad SAW melaksanakan umrah setahun setelah perjanjian Hudaibiah, banyak penduduk Mekah yang naik ke puncak Jabal Abu Qubais dan tempat-tempat tinggi yang lainnya untuk menyaksikan Nabi SAW dan sekitar 2,000 orang pengikut baginda melaksanakan umrah.

Sumber