www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Thursday, October 8, 2009

MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (Bhgn 6)



Untuk menjadi pendakwah, mahu tidak mahu kita terpaksa menerima bimbingan daripada orang lain sama ada sikit ataupun banyak. Nabi Muhammad sendiri dibimbing oleh Jibril dan para sahabat dibimbing oleh baginda. Begitulah seterusnya. Tidak mudah-mudah kita merujuk terus kepada sumber asal iaitu Al Quran dan as-Sunnah lalu hendak mengasaskan dakwah kita sendiri.


Kita faham, manusia ada ego sendiri. Kita ada ego sendiri. Saya ada ego sendiri. Cuma kita kena ingat, kita mungkin mahir dalam bidang kita namun kita belum mahir dalam bidang dakwah. Berdakwah ada seni tertentu, bukan main hentam saja. Ada orang beranggapan, ada ilmu agama pandailah dakwah. Ini tidak semestinya. Ada orang faham kalau lulusan agama tentu berupaya berdoa mengusir jin yang masuk ke dalam tubuh seseorang. Ini tidak semestinya.

Banyak lulusan agama tetapi dakwahnya kurang menjadi. Ada pula yang bukan lulusan agama tetapi dakwahnya berkesan. Ilmu agama dengan seni berdakwah adalah dua perkara yang berbeza meskipun mempunyai perkaitan yang rapat. Ilmu agama dengan kemahiran berdoa adalah dua perkara berbeza, meskipun mempunyai perkaitan yang rapat. Ada yang bukan lulusan agama tapi doanya selalu makbul.

Sebenarnya banyak manusia yang tidak mahu menerima tunjuk ajar dalam berdakwah, lebih-lebih lagi kalau dia lulusan agama. Dirasakan dirinya serba tahu tentang agama termasuklah dakwah. Dialah yang layak memberi tunjuk ajar, bukan menerima tunjuk ajar. Sikap ini merugikan banyak pihak.

Ilmu dakwah adalah ilmu yang hidup. Ia bergerak menyesuaikan dirinya dengan peredaran zaman. Sebab itulah didatangkan para mujaddid untuk setiap kurun. Mereka memperbaharui teknik dakwah dari semasa ke semasa. Oleh itu, apa teknik yang dipraktikkan umat dua tiga kurun yang lepas, belum tentu sesuai untuk kurun ini. Sebahagiannya tidak relevan lagi. Apa yang kita tahu dan amalkan sepuluh tahun yang lalu, belum tentu ia sesuai untuk hari ini. Apa yang kita praktikkan semasa menuntut di universiti dulu, boleh jadi sudah lapok pada hari ini. Dan apa yang kita pelajari hari ini, belum tentu sesuai untuk 10 tahun akan datang. Jangan biarkan diri kita ketinggalan.

Orang-orang yang ketinggalan ini biasanya akan berfaham ketinggalan juga. Dulu pernah kita dengar beberapa orang yang bertaraf ulama mengharamkan mesin cetak, menyebabkan umat Islam ketinggalan hampir seratus tahun dalam penghasilan bahan-bahan bacaan berbanding orang-orang Kristian. Ada pula yang mengharamkan terus tali leher, baju kot, topi “cowboy”, keyboard, gitar, konsert Islamik, televisyen, radio dan sebagainya. Ini semua melemahkan umat dan dakwah.

bersambung...

Sumber:
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=125

No comments: