Wednesday, November 18, 2009

Erti berkemampuan dalam haji





Jemaah haji dari pelbagai negara menunggu pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Jedda

IBADAT haji merupakan Rukun Islam kelima; menunaikan haji di Baitullah bagi orang yang berkemampuan. Ulama salaf telah banyak membincangkan orang yang wajib mengerjakan haji dan umrah terutamanya syarat berkemampuan yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW.

Syarat-syarat wajib haji dan umrah itu adalah sama sahaja iaitu:

1. Islam - tidak wajib atas orang kafir dan murtad.

2. Baligh - tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila baligh.

3. Berakal - tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya

4. Merdeka - hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala.

5. Berkuasa/Kemampuan

- berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan, ini ialah berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Dan menjadi kewajipan bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan di antara mereka. (ali-'Imran: 97)

Dalam masalah berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakan haji dan umrah ini adalah terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

a. Berkuasa atau berkemampuan dengan sendiri:

i. Berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain untuk melakukan pekerjaan haji dari mula hingga akhir;

ii. Mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang di bawah tanggungannya;

iii. Ada kenderaan pergi dan balik;

iv. Aman dalam perjalanan, yakni tidak ada merbahaya yang mengancam keselamatan diri dan harta. Ini termasuklah juga tidak ada penyakit yang membahayakan tubuh badan,

v. Sihat tubuh badan; dan

vi. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dari Anas R.A. katanya: Rasulullah SAW ditanya: Apakah yang dimaksudkan dengan sabil"? Rasulullah SAW menjawab: "Bekalan dan perjalanan". (eiwayat Daruqutni)

b. Berkuasa dengan bantuan orang lain:

i. Orang yang mempunyai cukup syarat wajib haji, tetapi tidak dapat mengerjakan hajinya sendiri kerana keuzuran dan sakit yang tidak ada harapan akan sembuh, atau telah terlalu tua umurnya serta telah putus asa tidak dapat pergi sendiri menunaikan hajinya.

ii. Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hidupnya, tetapi tidak mengerjakan haji, maka terhutanglah fardu haji atasnya sehingga warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menunaikan hutang hajinya itu dengan upah atau secara sukarela.

Kesimpulan

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan umat manusia dengan kemampuan yang berbeza-beza. Justeru itu zimmah atau beban tuntutan mengerjakan ibadat haji adalah berbeza atas seorang Muslim dengan Muslim yang lain.

Bagaimanapun, usaha dan keazaman untuk mengerjakan ibadat haji ini perlu ada pada setiap orang Islam di Malaysia. Mulakan langkah pertama dengan membuka akaun di Lembaga Tabung Haji.

Sumber

No comments: