Friday, October 26, 2007

MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (bah. 2)



MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (bah. 2)

Oleh Alexanderwathern

Mengapa orang tidak berminat menjadi pendakwah dan melibatkan diri dengan aktiviti atau jemaah-jemaah dakwah? Banyak pendapat boleh kita senaraikan tetapi saya ringkaskan di sini kepada 3 perkara sahaja. Ini kerana semua isi senarai itu nanti memang tidak lari daripada 3 perkara dibawah. 3 perkara tersebut ialah:


1. Orang itu tidak sedar sebanyak manakah keuntungan yang bakal dia dan umat manusia akan perolehi jika dia berdakwah.


2. Orang itu tidak sedar sebanyak manakah kerugian yang bakal dia dan umat manusia alami jika dia tidak berdakwah.


3. Atau kedua-duanya sekali.


Kita tidak gunakan perkataan “tahu” atau “faham” tetapi perkataan “sedar” kerana perkataan ini lebih menepati maksud yang kita maksudkan. Ada orang “ tahu” kalau melakukan kerja-kerja dakwah akan mendapat ganjaran begini dan begini namun dia masih tidak ada hati untuk berdakwah. Ada orang yang bukan setakat “tahu”, malah dia “faham” seandainya tidak berdakwah maka umat manusia khususnya umat Islam akan mengalami kerugian besar, tetapi dia tidak ada usahapun untuk berdakwah.


Hanya mereka yang ada “kesedaran” saja yang akan berusaha untuk menggerakkan dakwah. Mereka yang sampai ke tahap “sedar” ini sudah tentulah menguasai tahap “tahu” dan “faham”, kalau tidak bagaimana boleh mereka mengalami kesedaran. Kesedaran hanya akan datang selepas “tahu” dan “faham”.


Kesedaran untuk berdakwah jelas melibatkan individu terbabit dari segi untung dan ruginya, tapi apa kena-mengena pula dengan umat manusia? Mengapa tidak diletakkan untung rugi itu kepada umat Islam sahaja?


Ini kerana kemajuan dakwah Islam membawa rahmat kepada seluruh umat manusia (bahkan bangsa jin). Sebab itulah Syeikh Abu Hasan Ali an-Nadwi mengarang buku bertajuk “Apa Kerugian Umat Manusia Dengan Kemunduran Islam” (kalau tidak silap saya). Islam membawa rahmat bukan kepada penganutnya sahaja, malah kepada mereka yang bukan beragama Islam juga.


Alexanderwathern

21 MAC 2007


bersambung...


Sumber:
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=100&mode=&order=0&thold=0

No comments: