BUSRAH binti Shafwan bin Naufal bin Asad al-Quraisyyah al-Asadiyah adalah anak saudara Waraqah bin Naufal. Ibunya bernama Salimah binti Umayah bin Harisah al-Sulamiyah.
Busrah merupakan seorang wanita yang terkenal di Mekah. Dia seorang yang pandai tentang hal ehwal wanita. Dia pernah bekerja sebagai seorang juru hias di Mekah.
Busrah adalah antara wanita yang awal memeluk agama Islam. Dia adalah seorang pelapor hadis. Dia telah melaporkan sebanyak 11 buah hadis daripada Nabi Muhammad. Antara hadisnya yang terkenal ialah air sembahyang akan terbatal apabila menyentuh kemaluan.
Busrah seorang yang suka mencari ilmu pengetahuan. Dia sering ke rumah Nabi Muhammad untuk belajar ilmu agama Islam. Para sahabat juga ada melaporkan hadis daripada Busrah. Antaranya Ummu Kulsum binti Uqbah dan Abdullah bin Amru bin al-Ash.
Busrah berkahwin dengan seorang lelaki bernama al-Mughirah bin Abi al-Ash. Hasil perkahwinan itu lahir dua orang anak yang bernama Muawaiyah dan Aisyah. Dia juga mempunyai saudara tiri bernama Uqbah bin Abi Muith. Uqbah adalah musuh Islam yang kuat.
"Kita mesti hancurkan orang Islam," kata Uqbah dengan bongkaknya.
"Benar. Orang Islam telah menyusahkan kita. Mereka telah menghalang kita daripada melakukan sembahan berhala. Pelawat-pelawat yang datang ke Mekah juga sudah mula tidak percaya kepada berhala-berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah. Kita sudah hilang punca pendapatan," kata seorang pembesar kaum Musyrikin.
Menurut sejarah Islam, Uqbah bin Muith adalah salah seorang pembesar kaum Musyrikin yang kuat pengaruhnya. Dia merupakan pembesar yang kejam dan suka menindas orang Islam terutamanya Nabi Muhammad.
Begitu juga anaknya yang bernama Muawiyah bin al-Mughirah, suka menyeksa orang Islam. Busrah begitu kecewa dengan sikap anaknya yang kejam dan suka menzalimi orang Islam. Perang Badar dan Perang Uhud telah menyaksikan betapa kuatnya iman Busrah. Semasa perang Badar, datang seorang lelaki memberitahunya satu peristiwa.
"Busrah, saya ingin sampaikan berita kematian Uqbah bin Abi Muith. Dia telah ditangkap oleh tentera Islam. Uqbah telah dibunuh," kata lelaki itu.
"Benarkah?" tanya Busrah.
"Ya," jawab lelaki itu.
Kelihatan Busrah tidak langsung menitiskan air matanya.
Lalu Busrah berkata, "Terima kasih ya Allah kerana Uqbah sudah tidak ada di dunia ini lagi. Dia adalah orang yang menghina Nabi Muhammad. Dia juga kejam dan sanggup membuang najis binatang ke atas belakang badan Nabi Muhammad ketika sedang sujud dalam solat di masjid."
Menurut laporan, peristiwa itu menyebabkan Nabi Muhammad tidak dapat bangun daripada sujud sehingga anaknya iaitu Fatimah datang membuang najis binatang itu. Atas tindakan Uqbah, Fatimah dan Nabi Muhammad telah mendoakan ke atas perbuatan yang dilakukan oleh Uqbah.
Perang Uhud telah menyaksikan betapa teguh pendirian dan iman Busrah terhadap agama Islam. Anaknya iaitu Muawiyah telah menjadi musuh Islam dalam Perang Uhud.
Walaupun tentera Islam tewas dalam perang Uhud, terdapat juga tawanan tentera musuh. Antaranya Muawiyah bin Abi Muith. Muawiyah dan beberapa orang musuh Islam telah ditawan dan dipenjarakan. Kemudian kesemua tawanan itu dibunuh. Berita kematian Muawiyah sampai ke pengetahuan ibunya.
"Makcik tidak sedihkah dengan berita kematian anak makcik? Muawiyah sanggup mempertahankan nyawanya demi agama nenek moyangnya," kata seorang pemuda.
"Adalah lebih baik Muawiyah mati daripada dia terus-menerus menzalimi orang Islam. Semoga Allah menyelamatkan orang Islam," kata Busrah selepas mendengar berita kematian anaknya.
Pemuda itu kagum dengan iman yang terdapat pada diri Busrah. Sumbangan yang diberikan oleh Busrah kepada agama Islam sangat berharga. Busrah suka mencari ilmu agama Islam daripada Nabi Muhammad. Dia sering ke rumah Nabi Muhammad dan menghadiri majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.
Antara para sahabat yang melaporkan hadis daripada Busrah ialah Ummu Kulsum binti Uqbah dan Abdullah bin Amru. Manakala para tabiin ialah seperti Urwan bin az-Zubair, Saad bin Musayyab, Marwan bin al-Hakan dan ramai lagi.
Busrah sempat hidup pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan.
No comments:
Post a Comment