www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Thursday, November 26, 2009

Fatimah kuat menghafal



NAMA penuhnya Fatimah binti Qais. Dia mempunyai adik-beradik yang bernama Adh-Dhahhak, Hazmah dan Khairah. Fatimah telah berkahwin dengan Abu Hafsh Amru bin Hafsh bin Mughirah al Makhzumi.

Fatimah adalah seorang pelapor hadis. Dia mempunyai daya ingatan yang kuat. Dia seorang yang cerdik pandai. Dia telah melaporkan sebanyak 34 hadis daripada Nabi Muhammad.

Fatimah menjadi rebutan lelaki yang meminatinya. Selepas dia berpisah dengan suaminya, dia dilamar oleh dua orang lelaki. Sebelum dia dilamar, Nabi Muhammad telah menyuruhnya tinggal di rumah Ummu Syarik.

"Wahai Nabi Muhammad ada dua orang lelaki ingin melamar saya," kata Fatimah kepada Nabi Muhammad.

"Siapakah lelaki itu?" tanya Nabi Muhammad.

"Mereka ialah Muawiyah bin Abu Sufyan dan Abu Jahm," jawab Fatimah.

Selepas mendengar penjelasan Fatimah, Nabi Muhammad memberikan cadangannya. Nabi Muhammad berkata, "Saya cadangkan awak berkahwin dengan Usamah bin Zaid".

Fatimah agak terkejut mendengar nama Usamah lalu dia berkata, "Maafkan saya tuan. Saya tidak suka kepada Usamah bin Zaid".

Nabi Muhammad terus menasihatinya supaya memilih Usamah sebagai calon suami. Akhirnya Fatimah bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki pilihan Nabi Muhammad itu.

Perkahwinan mereka berjalan dengan lancar. Mereka hidup aman dan bahagia. Hasil perkahwinan itu, mereka dianugerahkan dengan tiga orang anak iaitu Zaid, Jabir dan Aisyah.

Fatimah meneruskan kehidupannya sebagai isteri kepada seorang pahlawan Islam. Dia juga pandai menjalinkan hubungan baik dengan keluarga Nabi Muhammad. Dia banyak mempelajari ilmu agama Islam dari Nabi Muhammad.

Malah dia menjadikan keluarga Nabi Muhammad sebagai satu contoh teladan baginya meneruskan kehidupan.

Semasa Nabi Muhammad jatuh sakit, Usamah telah ditugaskan menjadi ketua angkatan tentera Islam menentang musuh di Ghassan. Ghassan adalah sebuah daerah jajahan Rom Timur.

Melihat keadaan Nabi Muhammad yang semakin tenat, Fatimah menulis sepucuk surat kepada suaminya yang sedang bergerak ke medan perang. Pada masa itu pasukan tentera Islam baru sampai ke satu tempat yang bernama al-Jurf.

Terkejut

"Mengapakah Fatimah mengirimkan surat ini kepada saya?" bisik Usamah sendirian.

Tanpa berlengah, Usamah membuka surat itu lalu membacanya. Usamah agak terkejut mendengar berita bahawa Nabi Muhammad sedang sakit tenat. Usamah ingin berjumpa dan melihat keadaan Nabi Muhammad. Dia tidak mahu terlepas melihat Nabi Muhammad buat kali terakhir.

Tidak berapa lama kemudian sampai satu berita yang mengejutkan bagi semua tentera Islam itu.

"Nabi Muhammad sudah wafat," kata seorang lelaki yang diutuskan menyampaikan berita itu.

Berita kematian Nabi Muhammad menyedihkan seluruh umat Islam. Angkatan tentera Islam ke Ghassan berada di dalam dilema. Mereka sendiri tidak tahu sama ada mahu membatalkan serangan ke Ghassan.

Selepas Nabi Muhammad wafat, Abu Bakar as-Siddiq dilantik menjadi khalifah pertama. Abu Bakar tetap bertegas supaya angkatan tentera Usamah diteruskan walaupun mendapat pelbagai tentangan daripada para sahabat.

Selepas angkatan tentera Usamah berperang selama 40 hari, akhirnya mereka berjaya membawa kemenangan kepada Islam.

Fatimah memang terkenal sebagai seorang wanita yang berilmu tinggi. Dia juga kuat menghafal. Sejarah Islam menyatakan bahawa Fatimah adalah seorang wanita yang mampu mengingati setiap bait-bait kata yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

Hadis tentang Dajal dan tanda-tanda kemunculan Dajal yang disampaikan oleh Nabi Muhammad berjaya diingati oleh Fatimah dengan baik.

Fatimah memberi sokongan kuat kepada agama Islam. Dia sanggup menjadikan rumahnya sebagai tempat mesyuarat Majlis Syura selepas Umar al-Khattab mati terbunuh.

Jasa baik yang diberikan oleh Fatimah kepada Islam amat banyak. Sejarah Islam mencatatkan bahawa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 50 Hijrah.

Sumber