Thursday, April 19, 2007
DAKWAH TAJDID SEBENAR
DAKWAH TAJDID SEBENAR
Beberapa forum, laman dan blog mendakwa memperjuangkan tajdid dalam agama. Namun apabila kita mengembara ke dalam ruangan mereka, kita akan tertanya-tanya- apa benda yang didakwa tajdid dalam laman ini? Umumnya yang nampak hanyalah dakwah lama yang sudah tidak layak dipanggil tajdid lagi. Sebab itu ada pihak mengatakan , “Ini bukan dakwah tajdid, tapi dakwah takjadi.”
Kata-kata ini ada benarnya juga walaupun nampak macam tuannya hendak berkelakar atau menyindir. Ini kerana apa yang diperjuangkan oleh pihak-pihak itu ternyata benda-benda lapok lagi sudah basi. Itupun dinamakan tajdid? Yang kita tahu, tajdid benda baru. Yang mereka bawa tidak lain dakwah perpecahan umat masakini. Dakwah ini sudah lama berlalu. Ia sudah “out of date” pada zaman ini.
Antara isu yang didakwa sebagai tajdid ialah menghukum berdosa (melalui kata kunci “bidaah”) majlis tahlil, sambut Maulidurrasul, dunia kesufian, Sifat 20, takwil dan banyak lagi. Inikah tajdid? Dicetuskan ratusan tahun lalu pun tajdid juga? Nyata mereka ketinggalan zaman. Dakwah tajdid ini kalau manusia sudah terlalu tua usianya. Untuk memudahkan pemahaman, selepas ini saya akan menamakannya “Tajdid Lapok”. Tajdid Lapok ini sudah tidak layak disebut tajdid, tapi tak apalah. Kira tajdid jugalah agar golongan yang memperjuangkannya tidak terlalu kecil hati.
Yang hendak kita promosikan sekarang bukan Tajdid Lapok tapi Tadjid Segar dalam agama. Apakah Tajdid Segar? Ia adalah dakwah tajdid yang relevan dengan kurun ini, sedangkan dakwah Tajdid Lapok sepatutnya disimpan dalam muzium sahaja. Ada banyak perkara, tapi sebahagiannya tidak dinyatakan di sini kerana belum sampai masa untuk umat menerimanya. Biar lambat asal selamat.
Kita bentangkan dalam bentuk perbandingan agar pemahaman pembaca di tahap maksima.
TAJDID LAPOK
Apabila terjumpa orang, dia akan melihat apa perbezaan fahaman antara dirinya dengan orang itu terlebih dahulu. Baginya perbezaan ini adalah lebih penting daripada mencari persamaan. Tajdid Lama ini banyak membawa kerosakan dan perpecahan umat. Ia juga disokong oleh musuh-musuh Islam kerana membantu mereka mewujudkan perpecahan umat Islam.
TAJDID SEGAR
Apabila terjumpa orang, dia akan melihat apa persamaan fahaman dirinya dengan orang itu terlebih dahulu. Baginya mencari persamaan adalah lebih penting daripada mencari perbezaan fahaman. Tajdid Segar ini sangat berkesan untuk membawa perpaduan. Ia sangat digeruni oleh musuh-musuh Islam.
TAJDID LAPOK
Umumnya tidak menyokong gerakan-gerakan Islam yang ada seperti jemaah-jemaah sufi, parti-parti politik Islam, Ikhwanul Muslimin, jemaah Tabligh, Hizbut Tahrir, ABIM, JIM, ISMA dan lain-lain. Bagi mereka gerakan-gerakan ini hanya memecah-belahkan umat Islam menjadi 73 golongan sedangkan yang selamat hanyalah satu golongan sahaja iaitu mereka sendiri. Ada juga segelintir yang simpati dengan gerakan-gerakan Islam tapi mereka tetap tidak menjadi aktivisnya. Kalau jadi ahli pun sekadar ada nama sahaja. Nak kata digalakkan menyertai pun tidak, paling kuat kata harus saja. Mereka lebih utamakan perjuangan Tajdid Lapok. Kebanyakannya menghukum berdosa (melalui kata kunci bidaah) malah tidak akan selamat di akhirat ke atas semua gerakan Islam itu. Tajdid jenis ini memang menjadi kesukaan musuh-musuh Islam.
TAJDID BARU
Menggalakkan perkembangan jemaah-jemah Islam yang ada. Walaupun berbeza pasukan namun saling hormat-menghormati dan meraikan. Malah dari hari ke hari mereka berusaha mencari keselesaan untuk berjuang bersama. Pandang global, bergerak sebagai satu umat. Tajdid Segar ini amat digeruni musuh.
TAJDID LAPOK
Menghabiskan sebahagian besar masa, tenaga dan harta untuk membincangkan isu-isu khilaf. Seolah-olah itu sajalah perjuangan utama mereka dan itulah agama Islam. Tajdid Lapok ini direstui penuh musuh-musuh Islam. Mereka mahu umat Islam terutamanya golongan ulama sentiasa dalam keadaan bertelingkah. Kalau para ulama sudah berbalah, apa lagi orang awam.
TAJDID SEGAR
Mengutamakan isu-isu utama. Isu khilaf tidak ditinggalkan tetapi bukan menjadi agenda utama. Jika ada keluangan masa dalam memperjuangkan isu-isu utama, barulah dibuka isu-isu khilaf. Ini kerana telah terbukti bahawa isu-isu khilaf telah dibincangkan abad-berabad dan keputusannya, masih juga khilaf. Masa berabad-abad itu berlalu begitu sahaja tetapi keputusannya tetap sama. Ini membazir masa namanya. Kerja membazir ini sangat disukai Iblis dan syaitan. Jadi Tajdid Segar meletakkan perkara-perkara khilaf ke samping. Musuh-musuh Islam memang sakit hati dengan Tajdid Segar ini kerana umat Islam tidak ada masa untuk berbalah tetapi ada banyak masa untuk berhadapan dengan mereka.
TAJDID LAPOK
Biasanya menyebarkan perkara dusta dalam masalah “takwil, tak takwil”. Mereka umumkan “Salaf tak takwil, khalaf takwil”. Pembahagian ini kalau tidak disertai huraian sebagimana yang akan dinyatakan di bawah nanti, jelas satu pembohongan. Ini seolah-olah menggambarakn seluruh Salaf tak takwil dan seluruh khalaf takwil. Padahal pembahagian sebenarnya begini:
Salaf terbahagi kepada beberapa kelompok, bukannya satu kelompok sahaja sebagaimana pembohongan pembawa Tajdid Lama. Sekurang-kurangnya ada kelompok yang:
1. tidak takwil tapi tidak dijumpai bukti dia menegah takwil
2. kadang-kadang takwil dan kadang kadang tidak takwil
3. tidak takwil dan dia menegah takwil (yang ini saya perlu kaji lagi)
4. tidak diketahui pun sama ada dia takwil ataupun tidak, dan sama ada dia menegah takwil ataupun tidak
Khalaf pula sekurang-kurangnya terbahagi kepada kelompok yang:
1. takwil
2. kadang-kadang takwil dan kadang kadang tidak takwil
3. tidak takwil dan dia menegah takwil (ini golongan penjuang Tajdid Lama)
4. tidak takwil tapi tidak menegah takwil
5. boleh takwil dan boleh tidak takwil.
Jadi pembohongan yang mengatakan “Salaf tak takwil, khalaf takwil” sepatutnya sudah lama dibakulsampahkan. Mereka mahu umat Islam seboleh-bolehnya percaya bahawa 100% salaf tak takwil. Padahal Imam Ahmad sendiri mentakwil hadis Nabi:
“Hajarul Aswad adalah tangan kanan Allah di muka bumi.”
(Al Hakim)
‘Hati orang beriman antara dua jari-jemari Ar-Rahman.”
(Muslim)
“Aku dapat rasakan nafas Ar-Rahman dari sebelah Yaman.”
(Ahmad)
SUMBER: Majmuk Rasail Hasan al-Banna.
Kata al-Banna:
“Sebagaimana yang anda tahu, masalah yang dibincangkan sedikti sahaja dan membabitkan masalah yang mana SEBAHAGIAN ULAMA SALAF SENDIRI ADA MEMBUAT PENTAKWILAN.”
Jelas bagai matahari di tengah hari yang cerah- dakwah “Salaf tak takwil, khalaf takwil” oleh penggerak Tajdid Lapok adalah penipuan terhormat. Kalau mereka jujur, pastinya mereka akan berkata “Salaf ada yang takwil dan tak takwil, khalaf pun begitu juga”.
Mengapa dakwah mereka begitu? Mudah saja. Tentulah dengan tujuan untuk menakut-nakutkan umat Islam agar tidak berani takwil kerana kononnya bertentangan dengan Salafussoleh, bertentangan dengan Sunnah dan bertentangan dengan Islam. Maka umat Islam yang jahil dalam hal inipun akan bersama-sama mereka menghentam ulama-ulama khalaf yang takwil.
Musuh-musuh Islam tersenyum lebar. Teruskan… teruskan…. kata mereka sambil bertepuk tangan.
TAJDID SEGAR
Kita sebarkan “Salaf banyak tak takwil tapi ada yang takwil, khalaf banyak yang takwil tapi ada yang tak takwil dan ada yang tak mahu takwil.”-sebagai contoh. Ini boleh diperhalusi lagi.
TAJDID LAPOK
Apa saja idea-idea yang bertentangan dengan mereka dengan kadar segera dan seboleh-bolehnya dikaitkan dengan Syiah.
TAJDID SEGAR
Idea-idea yang bertentangan dengan idea kita akan diselidiki sedalam-dalamnya terlebih dhaulu sebelum mengaitkannya dengan Syiah atau mana-mana pihak.
TAJDID LAPOK
Umumnya tidak ada harapan untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati bersama Syiah. Syiah dimusuhi semaksimanya. Umumnya menolak Syiah sepenuhnya hinggakan orang Syiah juga tidak ada hati untuk bekerjasam dengan mereka.
TAJDID SEGAR
Bekerjasama dengan Syiah dalam hal-hal yang disepakati. Umumnya tokoh-tokoh ala Tajdid Segar masih diterima oleh puak Syiah.
TAJDID LAPOK
“Bidaah” adalah satu hukum, seolah-olah hukum dalam Islam ada wajib, sunat, harus, makruh, haram dan bidaah. Keterlangsungan bagi bidaah adalah sama dengan haram atau berdosa. Ini mutlak.
TAJDID SEGAR
“Bidaah” bukan hukum. Hukum ke atas bidaah dijatuhkan mengikut keadaan “bidaah” itu sendiri. Sebab itu dalam kitab-kitab kita ada menemui ayat “bidaah yang makruh”, “bidaah lagi makruh”, “bidaah yang mungkar”, “bidaah yang tidak disunatkan (bidaah yang harus) dan seumpamanya.
Banyak lagi.
Cukuplah setakat ini dahulu. Insyaalah idea saya dalam hal ini tidak pernah kering dengan izin Allah.
Sekarang tugasan anda para pembaca.
PERTAMA
Anda pejuang Tajdid Segar ataupun pejuang Tajdid Lapok?
Jawapan: ________________________
KEDUA
Tajdid yang disukai oleh musuh-musuh Islam ialah Tajdid _________
KETIGA
Tajdidi yang relevan untuk kurun ini adalah Tajdid __________
Akhirnya, jangan malu-malu untuk mengakui anda sebagai pejuang atau penyokong Tajdid Segar. Kalau di laman mereka, mereka letakkan cogankata memperjuangkan “tajdid”, faham-fahamlah kita bahawa itu adalah Tajdid Lapok. Di laman kita juga kita boleh letakkan cogankata yang sama. Kami juga membawa tajdid. Oleh kerana perkatan “tajdid” mereka membawa maksud “Tajdid Lapok”, maka untuk membezakannya kita letakkan saja “Tajdid Segar”. Boleh juga “Tajdid Baru”, “Tajdid Sebenar”, “Tajdid Terkini”, “Tajdid Abad Ini”, “Tajdid Salaf” dan seumpamanya.
Untuk mereka, saya suka melabel “Tajdid Lapok” saja. Terpulanglah untuk anda melabelnya sebagai “Tajdid Orang Tua”, “Tajdid Basi”, “Tajdid Wahabi” dan lain-lain.
Diriwayatkan Sufyan ath-Thauri menegur kesalahan khalifah. Ketika dibantah khalifah dijawanya lebih kurang . “Aku mesti menegur perkara yang salah, kalau tidak… kencingu akan bertukar menjadi darah.” Dengan sebab itu dia dihukum bunuh tetapi diselamatkan Allah.
Saya tidak sahkan riwayat ini sebagai sahih, cuma ingin mengambil tamsilan bahwa begitulah sikap saya dalam hal ini.
Wallahulam.
PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT
Posted on Friday, April 13 @ 06:04:36 EDT by alexanderwathern
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=121&mode=&order=0&thold=0
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam..
tajdid segar, tajdid lapok, tajdid baru..semua ni tak memeningkan ke? smpai skrg sy tak nampak dgn jelas ke mana hala tuju isu2 ini. apa yg nk dibawa sebenarnya ek? seriously sy blur. adakah hendak menolak tajdid yg dibawa oleh org lain? atau hendak menyatakan tajdid segar adalah satu2nya tajdid yg benar? adakah isu ini dibina atas tujuan perpaduan atau dengan matlamat perpecahan?
adakah ingin dinyatakan bhw semua yg berlogo dgn 'tajdid segar' itu betul? atau ingin diwar-warkan bhw yg tdk berlogo 'tajdid segar' itu tdk ada kebaikan?
bukankah lbh berlapang dada jika tdk ada label-melabel. sy melihat kebaikan yg byk dari kedua2 belah pihak. jadi mengapa berkempen supaya org ramai memilih satu pihak shj?
saya betul2 pening dgn gelagat golongan tajdid ini. maaf jika terkasar.
Post a Comment