www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Sunday, March 11, 2007

SELALU BERKATA ,BERCAKAP DAN BERBUAT BENAR



Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Kamu harus berkata dan berbuat benar, sebab benar itu membawa kebaikan, sedangkan kebaikan itu membawa ke Syurga. Seseorang tidak henti-hentinya berkata dan berbuat benar dan mencari kebenaran, sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai Syiddiq (tukang benar). Dan kamu jangan berkata dan berbuat dusta, sebab dusta itu membawa kejahatan, sedangkan kejahatan membawa ke Neraka. Seseorang tidak henti-hentinya berkata dan berbuat dusta dan mencari kedustaan, sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai Kazzab (tukang pendusta)".

(Bukhari)

Friday, March 9, 2007

UMMUL MU' MININ KHADIJAH r.a.



UMMUL MU'MININ KHADIJAH BINTI KHUWAILID r.a.

Khadijah r.a. merupakan isteri Nabi Muhammad S.A.W. yang pertama. Beliau telah berkahwin dengan Rasulullah ketika umurnya 40 tahun. Manakala Nabi Muhammad S.A.W. berumur 25 tahun.

Pada mulanya, Khadijah telah dilamar oleh Warqah bin Naufal. Tetapi perkahwinan ini tidak dilangsungkan. Suaminya yang pertama ialah Atiq bin Aaiz. Hasil perkongsian hidup, mereka telah memperolehi seorang anak perempuan yang bernama Hind. Selepas suaminya Atiq bin Aaiz meninggal dunia, Khadijah telah berkahwin dengan Abu Halah. Hasil dari perkahwinan itu, mereka telah memperolehi dua orang anak iaitu Hind dan Halah.

Selepas kematian suaminya Abu Halah, Nabi Muhammad S.A.W. telah berkahwin dengan Khadijah yang mana beliau merupakan isteri Rasulullah yang pertama. Hasil perkongsian hidup bersama Rasulullah S.A.W., mereka memperolehi enam orang anak iaitu dua orang lelaki dan empat orang perempuan. Mereka terdiri dari Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Ummu Khalsum dan Fatimah. Nabi Muhammad S.A.W. mempunyai seorang lagi anak lelaki bernama Ibrahim yang telah dilahirkan oleh hamba perempuannya iaitu Mariah.

Khadijah telah banyak berjasa kepada Rasulullah. Rasulullah S.A.W. sangat sayang pada beliau. Khadijah telah dikenali dengan “TAHIRAH” (yang bererti suci dan bersih) walaupun ketika itu beliau masih belum memeluk Islam.Khadijah telah meninggal dunia dalam bulan Ramadhan pada tahun ke sepuluh Hijrah. Pada ketika itu, Khadijah berumur 65 tahun.

MUHASABAH DIRI KE ARAH MUKMIN CEMERLANG



MUHASABAH DIRI KE ARAH MUKMIN CEMERLANG
Oleh Alexanderwathern

Ada orang Islam yang begitu gigih membaca al Quran, setiap hari melebihi satu juzuk tetapi malangnya dia tidak mengusahakan solat-solat sunat. Dia berasa puas hati dengan amalannya membaca al Quran itu tanpa mengambil tahu aspek-aspek ibadah yang lain. Ada orang yang begitu rajin berwirid, saban hari zikirnya ribuan tetapi dia tidak berdakwah kepada sesiapa. Ada yang solat sunat melebihi dua puluh rakaat dalam sehari semalam, dia berasa puas begitu tapi mengabaikan solat fadhu berjemaah di tempat azan dilaungkan , iaitu di surau ataupun masjid. Ada yang ke sana ke mari berceramah dan mengajar agama tetapi malangnya tidak pula membuat kuliah harian atau minggan untuk anak isteri sendiri. Ada pula yang begitu rajin berjemaah di masjid, tetapi malas mencari ilmu agama melalui jalan membaca, menonton, mendengar, mengarang, mengumpul bahan dan sebagainya.




Keadaan-keadaan di atas menghasilkan individu yang tidak seimbang. Minda mereka perlu dibuka agar mereka tidak berasa puas hati dengan apa yang mereka usahakan sahaja. Bagi sesetengah orang, mereka memahamkan diri mereka bahawa apa yang mereka usahakan itulah jalan agama yang sebenar. Kalau dia rajin mengerjakan solat sunat melebihi dua puluh rakaat setiap hari, dia akan memandang rendah kepada orang lain yag hanya mampu melakukan enam rakaat sahaja sehari semalam. Maka keluarlah daripada mulutnya nasihat-nasihat agar orang lain mencontohinya. Tetapi dia tidak sedar kemungkinan individu yang dinasihatinya itu mungkin ada melakukan amalan yang lain seperti berdakwah, menghafaz dua puluh minit sehari, membaca bahan agama dua jam sehari, merancang aktiviti-aktiviti agama dan seumpamanya.


Situasi ini tidak berlaku kepada orang awam sahaja, malah kadang-kala berlaku juga kepada mereka yang bergelar ulama. Untuk itu saya telah mencadangkan malah menjalankan satu kaedah muhasabah diri untuk digunakan oleh anak-anak buah dan kegunaan saya sendiri.


Untuk bakal pendakwah yang menunjukkan minat untuk terus bersama kita maka mereka hendaklah berusaha untuk mencapai perkara-perkara berikut setiap hari (selain solat fardhu lima waktu):

  • solat berjemaah 3 kali (lelaki sahaja), utamakan berjemaah di surau atau masjid
  • solat sunat 6 rakaat
  • membaca al Quran 1 muka (secara melihat)
  • menghafaz atau mengulangkaji hafazan 10 minit
  • wirid pagi atau petang, 15 minit setiap sesi (apa saja aurad, kami gunakan al-Ma’thurat)
  • qiamullail, sekurang-kurangnya 2 rakaat tahajjud
  • berdakwah, sekurang-kurangnya satu perkataan yang bererti, satu SMS dan seumpamanya
  • baca bahan agama 20 minit (juga menonton, mendengar, mengarang dsb)
  • kurangkan makanan yang boleh memudaratkan
  • ikram- membuatkan seseorang berasa seronok walaupun seketika
  • bacan-bacaan sebelum tidur
  • riadah 20 minit (lelaki)

Perkara-perkara di atas mesti diusahakan setiap hari. Selain itu ada beberapa perkara lain yang tidak setiap hari seperti:


  • puasa sunat sekali dalam sebulan
  • mengikuti apa jua majlis agama 3 jam seminggu (lelaki), 1 jam (wanita)

Sekiranya bakal pendakwah itu pelajar sekolah, pelajaran agama di sekolah tidak diambil kira.


Untuk ketua, pemimpin, naqib, naqibah, muallim dan seumpamanya, hendaklah mencapai perkara-perkara berikut:

  • solat sunat 15 rakaat
  • tilawah al Quran 1 juzuk (sama ada melalui penglihatan atau hafazan)
  • hafazan atau ulangkaji hafazan 15 minit
  • qiamullail sekurang-kurangnya 15 minit
  • riadah 20 minit sehari
  • sesi tarbiyyah keluarga 10 minit (bagi yang telah berkeluarga)
  • berdakwah, sekurang-kurangnya satu perkataan yang bererti, satu SMS dan seumpamanya
  • baca bahan agama 1 jam (juga menonton, mendengar, mengarang dsb)
  • kurangkan makanan yang boleh memudaratkan
  • ikram- membuatkan seseorang berasa seronok walaupun seketika
  • bacan-bacaan sebelum tidur

Perkara-perkara di atas mesti diusahakan setiap hari. Selain itu ada beberapa perkara lain yang tidak setiap hari seperti:


  • puasa sunat 3 kali dalam sebulan

  • mengikuti apa jua majlis agama 3 jam seminggu (lelaki), 1 jam (wanita)


Pencapaian di atas bukan kewajipan, tapi satu usaha untuk menggalakkam istiqamah dan menjadikan kita insan berjiwa agama yang seimbang. Jika kita boleh melakukan lebih daripada itu, sangat digalakkan. Cuma jangan melampau dalam beribadah, kerana ditakuti kita tidak ada kesempatan untuk melakukan kerja-kerja lain yang turut dituntut agama terutamanya mencari nafkah, silaturrahim dan ilmu-ilmu duniawi.

Untuk individu yang baru berjinak-jinak dengan agama dan dakwah, cukuplah tiga perkara saja dititikberatkan iaitu:

  • solat sunat 6 rakaat sehari
  • membaca bahan agama 20 minit sehari
  • membuka dan membaca al Quran semuka sehari

Yang penting ialah kemampuan untuk istiqamah, bukannya kuantiti ibadah yang tinggi tetapi tidak stabil- hari ini solat sunatnya 30 rakaat, esok langsung tidak ada, lusa 10 rakaat… tiada istiqamah.

Ia bersifat fleksibel, jika kita dari Johor pergi ke Kuala Lumpur untuk berceramah umpamanya tentu saja kita tidak dapat menyelesaikan kesemua item tersebut, namun ada sistem pemarkahannya (tak dapat diterangkan secara terperinci di sini, mungkin kemudian hari apabila saya hidangkan kupasan artikel ini) yang menjadikan kita tidak kerugian apa-apa. Ini kerana perjalanan kita semasa pergi, berceramah dan pulang termasuk ke dalam “ikram” dan “dakwah”. Maka markah untuk “ikram” dan “dakwah” menjadi berganda. Ia menampung semula kerugian kita dalam item yang lain.

Berdasarkan pengalaman saya menjalankan kaedah muhasabah ini, ternyata ia amat berkesan untuk melahirkan individu pendakwah yang seimbang.

Artikel yang lebih terperinci akan menyusul insyaallah (mungkin lewat sedikit). Sebagai pengkayaan, diharap dapat juga membaca tulisan saya bertajuk CARA MENYUSUN “FOLDER” AGAMA ISLAM. Ada kaitannya secara tidak langsung dalam usaha kita melahirkan insan berjiwa global.


Selamat mengislah diri!

“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”


Alexanderwathern
9 DIS 2006

http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/article59.html&mode=&order=0&thold=0

Sunday, March 4, 2007

KELEBIHAN BERSIFAT JUJUR



KELEBIHAN BERSIFAT JUJUR

Mengapa Kita Perlu Bersifat Jujur???Apa Kelebihannya?
Antaranya adalah:

• Kerehatan perasaan dan ketenangan jiwa

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Kejujuran adalah ketenangan”. (at-Tirmizi)

• Keberkatan dalam pendapatan dan pertambahan kebaikan

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Kedua penjual dan pembeli mempunyai khiyar selagi mereka berdua tidak berpisah. Sekiranya kedua mereka jujur dan menjelas (sifat dan keaiban barangan atau bayaran), mereka berdua diberkati dalam jualbeli mereka. Dan sekiranya mereka berdua menyembunyikan dan berdusta (tentang barangan atau bayaran),keberkatan jualbeli mereka berdua dihilangkan”.
(Muttafaq ‘alaih)

• Selamat daripada perkara yang dibenci

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Kamu hendaklah berlaku jujur sekalipun kamu lihat di dalamnya kebinasaan.
Kerana sesungguhnya terdapat di dalamnya keselamatan”.

(Muslim)

• Berjaya memperolehi kedudukan syuhada’

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang meminta kepada Allah untuk memperolehi syahid dengan jujur, Allah menyampaikan kepada kedudukan syuhada’ sekalipun dia mati di atas
tilamnya”.

(Muslim)

• Menemani golongan pemuka di syurga

Allah Taala berfirman:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat olehAllah kepada mereka iaitu Nabi-nabi dan orang-orang Siddiqiin dan orang-orang yang syahid serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).”
(an-Nisa’:69)

• Mencapai kedudukan golongan Siddiqin

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai siddiq (seorang yang sangat jujur).
(Muttafaq ‘alaih)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bukan seorang pendusta,seseorang yang mendamaikan antara manusia, lalu dia menyuburkan kebaikan atau berkata baik”.
(Bukhari & Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Wahai manusia, apa yang mendorong kamu untuk berterusan berdusta seperti kelkatu berterusan memasuk api. Semua dusta bagi anak Adam haram kecuali dalam tiga sikap: seorang lelaki berdusta terhadap isterinya untuk memuaskan hatinya, seorang lelaki berdusta dalam perang kerana perang adalah tipudaya dan seorang lelaki berdusta kepada dua orang Islam untuk mendamaikan mereka”.
(at-Tirmizi)

Tuesday, January 30, 2007

JANGAN BERBUAT DOSA BESAR


Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Jauhkanlah olehmu tujuh kejahatan yang membinasakan". Para sahabat bertanya: "Apakah tujuh kejahatan yang membinasakan itu ya Rasulullah?"

Rasulullah berkata:

* Merpersekutukan Allah
* Mengamalkan sihir
* Menghilangkan nyawa seseorang yang diharamkan Allah s.w.t. kecuali dengan hak
* Makan riba
* Makan harta anak yatim
* Melarikan diri pada waktu dalam peperangan
* Menuduh berzina,perempuan-perempuan mukminah yang suci dan terpelihara

(HR. Bukhari & Muslim)

Dalam hadis yang lain pula diterangkan:
Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Mahukah saya khabarkan kepadamu tentang dosa yang paling besar diantara dosa besar?
Iaitu Mempersekutukan Allah, Durhaka kepada ibu bapa dan perkataan jahat dan keji.
(HR. Bukhari & Muslim)

Thursday, January 25, 2007

KELEBIHAN BERAKHLAK BAIK

Mengapa Kita Perlu berusaha untuk menjadikan akhlak kita baik???

Kelebihan 1: Akhlak yang baik menambahkan iman.

Daripada Aisyah r.a , Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:

“Sesungguhnya dengan sebab akhlak yang baik, seseorang yang beriman dapat mencapai darjat orang yang berpuasa dan bangun malam (melakukan ibadat).”
( Abu Daud)

Kelebihan 2: Orang yang paling baik ialah orang yang terbaik
akhlaknya.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

“Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang terbaik akhlaknya di kalangan kamu.”
(Muttafaq alaih)

Kelebihan 3: Akhlak yang baik memberatkan timbangan amalan orang beriman pada hari Kiamat.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

“Tiada suatu yang lebih berat dalam timbangan amalan seorang hamba beriman pada hari kiamat berbanding akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar.”
(At-Tirmizi)

Kelebihan 4: Akhlak yang baik menjadi sebab masuk syurga.

Daripada Abu Hurairah:

“Rasulullah s.a.w. ditanya tentang perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke syurga. Baginda menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik”.
(at-Tirmizi)

Kelebihan 5: Akhlak yang baik mendekatkan kedudukan orang beriman dengan Rasulullah s.a.w. di syurga.

Daripada Jabir r.a. ,Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya orang yang paling aku sukai dan paling hampir kedudukan denganku pada hari Kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya di kalangan kamu. Dan sesungguhnya orang yang paling aku marah dan paling jauh daripadaku di kalangan kamu pada hari Kiamat ialah at-Tsartsarun (orang yang banyak cakap secara berlebihan), al-Mutasyaddiqun (orang yang bermulut lancang kepada orang lain) dan orang yang memenuhkan mulutnya dengan percakapan”. Mereka berkata: Wahai Rasulullah, kami tahu orang yang banyak cakap dan orang yang bermulut lancang terhadap orang lain. Apakah maksud orang yang memenuhkan mulutnya dengan percakapan? Baginda menjawab: “Orang yang takabbur”.
(at-Tirmizi)

Friday, January 19, 2007

Gadis Berhias Di Depan Lelaki



SOALAN

Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj, Nabi Muhammad saw telah diperlihatkan dengan nasib wanita yang suka berhias kepada orang lain tetapi tidak berhias pula kepada suaminya. Bagaimana pula dengan wanita yang belum berkahwin?

PENJELASAN

Pesan Rasulullah s.a.w:

“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang aku belum lagi melihat mereka. Pertama, golongan yang mempunyai cemeti-cemeti (iaitu golongan pemerintah) bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang BERPAKAIAN TETAPI TELANJANG, BERLENGGANG-LENGGOK waktu berjalan. Menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini TIDAK AKAN MASUK SYURGAdan TIDAK AKAN DAPAT MENCIUM BAU WANGINYA. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah dapat dicium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya.”

(Muslim)

Huraian hadith:
Kedua-dua golongan ini tidak wujud pada zaman Rasulullah kerana belum pernah dilihat baginda. Ini bermakna ia akan wujud kemudian, iaitu pada zaman sekarang. Golongan pertama ialah golongan pemerintah yang zalim. Golongan ini menghukum orang mengikut suka hati mereka.
Golongan kedua pula ialah kaum wanita yang berpakaian tetapi seolah-olah telanjang kerana ketatnya pakaian mereka dan tidak menutup aurat dengan sempurna. Ada saja bahagian yang dipertontonkan dan ada yang ditutup dengan helaian nipis. Mereka berjalan dengan gaya yang menarik perhatian, iaitu berlebih-lebihan dalam berlenggang-lenggok. Ini tidak bermakna wanita kena berjalan seperti robot, tetapi berjalanlah mengikut gaya semulajadi anda- jangan ditambah-tambah lagi untuk menarik perhatian orang. Kata Nabi, perempuan yang bersanggul di kalayak umum saja pun sudah tidak dapat mencium bau syurga, bagaimana pula dengan perempuan yang rambutnya berfesyen dan berwarna seperti sekarang ini?
Hadith ini merangkumi wanita yang sudah berkahwin atau belum. Tidak boleh berhias untuk lelaki. Bahkan berhias untuk lelaki yang mahram juga tidak boleh. Apa tujuannya berhias untuk bapa, datuk, abang atau saudara yang lelaki? Tampilkan diri anda yang biasa saja sudah cukup. Dan jangan lupa hiaskanlah diri anda untuk suami anda sehabis-habisnya.

http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=55&mode=&order=0&thold=0

Thursday, January 18, 2007

Ganjaran menolong saudaramu..



RASULULLAH S.A.W bersabda:

“Orang Islam itu adalah bersaudara bagi orang Islam yang lainnya. Oleh kerana itu janganlah seorang Islam menganiaya saudaranya dan jangan membiarkan saudaranya terseksa.Barangsiapa yang berusaha memenuhi hajat saudaranya,maka Allah akan memenuhi hajatnya. Barangsiapa yang melepaskan kesusahan saudaranya sesama Islam, pasti Allah akan melepaskannya dari beberapa kesusahan di hari kiamat dan barangsiapa yang menutup aib saudaranya, pasti Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.”
(Bukhari & Muslim)

Monday, January 15, 2007

Kelahiran anakku....

Kelahiran Muhammad Zulfiqar

Isnin 23 Januari 2006- Aku sedang dalam kelas sewaktu isteriku menelefon mengatakan yang dia telah “turun tanda” dengan adanya darah dan lendir. Cempaka minta agar aku balik ketika itu juga. Maka akupun pergi mencari Pengetua dan menemuinya di kantin- sedang makan. Dia beri kebenaran tanpa bicara panjang. Syukur, Tuhan mudahkan kerjaku.
Aku was-was juga, betulkah “turun tanda”? Ini kerana anak pertama dulu “turun tanda”nya adalah air yang mengalir dengan banyak.

Dipendekkan cerita kami terus ke Hospital Taiping. Bersama kami ialah mak, Mak Lang Milah, anaknya Husna, Saiyidah dan Kak Ana. Syukur lagi, Tuhan kurniakan kami teman-teman yang sedia bersama dalam saat-saat seperti itu.

Cempaka hanya melahirkan anak tengah hari esoknya jam 12.04 minit. Itupun setelah dipecahkan ketubannya oleh doktor. Ada masalah- doktor mengesan uri berada di bawah sedikit. Doktor memanggilku lalu menceritakan situasi tersebut yang agak bahaya bagi si ibu. Aku pun bersetuju agar dibuat pembedahan.
Aku dibenarkan menemui isteri tersayang yang telah sedia di atas katil dengan kepala berserkup plastic (prosedur biasa pembedahan). Matanya mengeluarkan air mata dengan laju, maka air mata akupun menitik juga. Namun aku berlagak tenang sambil memberi kata-kata perangsang mengingatkan dia agar banyak berzikir. Ingatan supaya banyak berzikir ini memang banyak kali kupesan sepanjang kami berada di hospital. Walaupun kutahu pembedahan sudah perkara biasa di zaman kecanggihan teknologi ini tetapi ketika di tempat menunggu air mataku menitik juga.

Dengan kuasa Tuhan, pembedahannya tidak lama- lebih kurang 20 minit sahaja sahaja kurasa. Selepas itu dialungkan melalui pembesar suara, “Waris Cempaka”. Aku bergegas ke dalam bilik untuk melihat anakku...

Nukilan suamiku...

KEJADIAN WANITA



KEJADIAN WANITA
. 08/02/2005 http://www.rufaqadaily.com/majalah.asp

Kejadian wanita memang unik. Jika Adam dijadikan daripada inti pati tanah tetapi Hawa tidak dijadikan dari tanah. Ia dijadikan daripada sebahagian dari anggota tubuh Adam iaitu tulang rusuk Nabi Adam. Mereka dikahwinkan walaupun dari asal-usul kejadian yang berbeza. Ini suatu kejadian manusia yang sangat pelik. Akal mungkin menganggap alangkah baiknya jika kedua-dua Adam dan Hawa dari kejadian yang sama iaitu tanah.

Jika mereka sejenis barulah padan jika dijodohkan. Begitulah hujah akal manusia. Dalam Islam, ia sebenarnya terkandung satu hikmah yang besar bagi menerangkan tentang peranan wanita itu sendiri. Kalau Tuhan jadikan Adam dan Hawa daripada tanah, semesti tanah itu sendiri berlainan jenis. Walaupun tanah menjadi perhubungan di antara Adam dan Hawa, namun ikatan itu tidak kuat. Ia seolah-olah menyatukan kedua makhluk yang berlainan. Jika mereka dari kejadian yang sama kemudian dikahwinkan, mereka seperti sahabat biasa sahaja. Sahabat biasa bukan teman yang istimewa. Jika hendak berpisah memang mudah. Itulah di antara sebab Tuhan tidak ciptakan Hawa dari tanah seperti Adam. Allah cipta Hawa dari diri Adam sendiri iaitu dari tulang rusuknya. Hakikatnya , rohaniah, perasaan dan fizikal mereka seolah-olah dari satu jasad yang sama.

Di sinilah perkongsian suami isteri itu bermula. Barulah perkongsian suami isteri itu di anggap sebagai teman setia, sehidup, semati, seperjuangan dan yang paling baik bekerjasama. Pasangan suami isteri itu tidak sempurna jika tidak ada bersama-sama. Ia bukan sahaja menyempurnakan dari sudut biologi tetapi juga dari sudut menjaga anak, berjuang dan berjihad. Jika ada isteri sahaja dalam pengurusan rumahtangga, belum sempurna lagi penyusunan rumahtangga itu. Kedua-duanya mesti ada barulah sempurna. Dalam Islam, rumahtangga seolah-olah satu bahagian di bahagi kepada dua. Ia bukan berasal dari dua keluarga yang disatukan. Dalam Islam hendak pisahkan sangat susah kecuali jika terdesak. Umpama satu badan, bukan senang hendak potong sebahagian anggota lain. Anggota itu adalah pelengkap kepada badan tersebut. Tanpa salah satu dari anggota itu, ia dikatakan cacat.

Jika pasangan suami isteri dikatakan sebagai kawan, tidaklah memadai kerana peranan suami isteri terlalu banyak. Bahkan ia lebih dari hubungan seorang kawan. Peranan suami isteri itulah sahabat, pembantu, penghibur, penasihat, kawan seperjuangan. Bila susah sama-sama susah dan bila senang sama-sama senang. Ikatan yang banyak ini sudah cukup kuat bagi pasangan suami isteri. Ia tidak mudah terungkai. Kalau peranan suami isteri itu banyak dan hanya satu yang terungkai, ada ikatan lain yang masih boleh mengukuhkan itu banyak. Kalau ikatannya satu sahaja iaitu sebagai kawan tidak cukup. Ikatan itu mudah terungkai. Kalau banyak peranan, hanya satu yang terungkai, masih ada ikatan lain yang boleh mengukuhkan hubungan suami isteri itu. Itulah hikmah Hawa tidak dijadikan dari tanah tetapi daripada satu juzuk badan Adam. Ia seolah-olah senyawa dan saling memerlukan di antara satu sama lain dalam semua hal seperti cari rezeki, jaga anak, mengatur perjuangan, mencari ilmu. Itulah hikmah kejadian wanita.

Tambahan pula jika pasangan suami isteri itu dididik dengan agama. Ikatan suami isteri itu bertambah memberi makna. Di waktu muda, pasangan suami isteri banyak membuat hubungan biologi. Inilah yang mengerat hubungan suami isteri. Tetapi jika sudah lanjut usia, hubungan biologi sudah kurang. Agamalah yang menguatkan hubungan suami isteri. Allah menuntut pasangan suami isteri dengan tuntutan-tuntutan yang mesti ditunaikan oleh kedua belah pihak demi untuk menjaga hak-hak masing-masing dalam sistem kekeluargaan. Agama banyak mengajar pasangan manusia saling berbuat baik di antara satu lain. Ini menimbulkan perasaan kasih sayang yang mendalam sekalipun, hubungan biologi sudah kurang. Agama merapatkan hubungan suami isteri. Perkahwinan itu betul-betul dibina di atas rasa yang suci murni. Ia seolah –olah kembali kepada waktu manusia itu dicipta ketika zaman Adam dan Hawa yang berasal dari satu juzuk diri Adam. Mereka adalah dari satu badan. Tanpa agama, akan hilanglah ikatan kasih sayang suami isteri kerana hubungan biologi yang sudah hambar. Kalau tidak dididik dengan agama dan tidak ada ikatan biologi yang kuat, ia akan menjarakkan pasangan tersebut. Semakin tua semakin jauh. Kadang-kadang duduk serumah tetapi dua tiga hari tidak berjumpa. Ada dan tidak ada sama sahaja. Tetapi kalau orang dididik dengan agama tidak berlaku demikian. Itulah hikmahnya Tuhan tidak jadikan kedua-duanya dari tanah. Ia dua perkara berbeza iaitu tanah dan tulang rusuk tetapi satu nyawa dari tubuh badan Nabi Adam. Seolah-olah apa perasaan Adam itulah perasaan Hawa. Kalau apa perasaan Hawa itulah perasaan Adam. Pasangan suami isteri boleh bercerai kerana tidak ada agama.

Ditambah pula dengan berbagai perkara maksiat pula. Agamalah sebagai pengikat suami isteri. Jika tidak ada agama seolah-olah hilang pengikat. Ikatan yang paling utuh ialah tali Allah. Syariatlah yang akan menjadikan pasangan suami isteri sentiasa dalam keadaan yang romantis dan harmoni serta mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat sekalipun sudah tua usia perkahwinannya. Inilah hikmah kejadian manusia.

Friday, January 12, 2007

Nukilan Pertamaku....

Alhamdulillah..saya telah berjaya menyiapkan satu blog peribadi.

"Ya Allah, jadikan dalam hatiku cahaya, dalam pandanganku cahaya, dalam pendengaranku cahaya, di kananku cahaya, di kiriku cahaya, di atasku cahaya, di bawahku cahaya, di hadapanku cahaya, di belakangku cahaya dan jadikanlah bagiku cahaya."

(Bukhari & Muslim)