Thursday, July 28, 2011
Bicara al-Quran mengenai kurma
Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.
Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.
Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.
Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut sekali.
Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.
Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan 'ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang paling bermutu.
Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang sama.
Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.
Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An'am: 99)
Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.
Nikmat yang wajib disyukuri
Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.
Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-An'am: 141)
Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.
Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum 'Ad yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.
Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun'aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).
Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.
Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.
Golongan yang ingkar
Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.
Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.
Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.
Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat keadaan mereka.
Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.
Kisah Maryam
Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.
Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.
Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.
Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.
Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.
Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.
Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.
Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.
Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.
Sumber
Berpurdah untuk menjaga kehormatan
| |
| PENDAKWAH kulit putih terkenal, Yusuf Islam dan isterinya, Fowzia Mubarak (kanan sekali) bersama anak dan cucu begitu banyak memberikan sumbangan kepada Islam untuk terus bertapak di United Kingdom. |
PARA PENONTON yang mengikuti siaran langsung saluran Channel 4 yang popular di England, begitu terkejut dengan penampilan seorang wanita berpurdah di kaca televisyen pada sambutan Hari Krismas tahun lalu.
Ia berlaku sejurus Ratu Elizabeth II menyampaikan ucapan sempena Hari Krismas. Tidak berselang lama selepas itu, wanita yang hanya menampakkan sepasang mata ini, muncul.
Tujuannya untuk memberi wanita itu peluang menyampaikan pesanan melalui apa yang dipanggil sebagai Pesanan Alternatif Krismas. Iaitu pesanan yang cukup berbeza berbanding ucapan oleh baginda Ratu England.
Kemunculannya menyebabkan penonton terpaku. Masing-masing tertanya-tanya, wajah siapakah di sebalik purdah itu. Yang pasti wanita itu sudah tentu seorang Islam.
Daripada suaranya para penonton dapat mengenal pasti bahawa wanita tersebut adalah rakyat British atau dengan lain perkataan dia adalah wanita berkulit putih seperti sebahagian besar penonton itu yang sedang menonton program itu.
Ini kerana loghat Inggerisnya agak pekat dan asli sebagaimana warga England yang lain juga.
Penampilannya dalam program yang dihos oleh Jack Straw itu dikatakan sebagai peluang yang diberi oleh saluran televisyen itu bagi memperbetulkan banyak salah tanggapan mengenai Islam, terutamanya apabila wanita Islam memilih untuk berpurdah.
Lalu wanita yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Khadijah itu terus mengambil peluang itu dengan mengkritik mereka yang berpandangan salah mengenai purdah termasuk ada yang menyebutnya sebagai jilbab, burqa dan niqab.
"Purdah ini sebenarnya perisai bagi kaum wanita. Tidak sekadar soal identiti tetapi lebih kepada soal perlindungan daripada segala macam ancaman dan menghalang si pemakai itu mendekati perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri mereka sendiri," ujar Khadijah.
Beliau menguatkan lagi hujahnya bersandarkan dalil al-Quran yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…. (an-Nur: 31)
Sehingga ke akhir rancangan, para penonton ditinggalkan dalam keadaan penuh tanda tanya, siapa gerangan di sebalik purdah itu.
Sehinggalah akhbar Daily Mail akhirnya berjaya menemui dan membuat pendedahan mengenai, siapa Khadijah.
Wanita yang patuh berpurdah itu adalah Elaine Atkinson, 43, iaitu seorang warga Britain sebelum menukarkannya kepada Khadijah Iqbal selepas memeluk Islam pada tahun 1996.
Beliau setuju muncul di kaca televisyen apabila pihak stesen menghormati permintaannya untuk muncul dengan identitinya yang berpurdah.
"Itu sudah cukup bagi membolehkan para penonton fokus pada kata-kata saya, bukannya keperibadian saya," kata Khadijah.
Sejurus beliau berpurdah maka Khadijah mengaku ramai yang menuduhnya masuk ke dalam kelompok Islam radikal.
Namun beliau menafikan, kerana purdah tidak bermakna menjadi lambang sesuatu yang radikal. Beliau sendiri seorang yang berfikiran sederhana dalam serba serbi.
"Saya memilih berpurdah dengan penuh kesedaran. Ia semata-mata untuk melindungi diri kerana dengan wajah yang separa bertutup ini ia sebenarnya satu lambang kebebasan kepada seseorang wanita itu untuk mempertahankan haknya yang paling utama, soal keselamatan," jelasnya.
Menurut Khadijah, Islam membuatkannya mempunyai panduan yang jelas untuk diikuti dan dipatuhi dalam hidup.
"Tidak sahaja dalam soal jaminan keselamatan dengan menutup aurat, bahkan dalam apa juga aspek.
"Selagi tidak memeluk Islam, seseorang itu tidak ubahnya seperti tikus atau hamster yang hanya tahu berputar-putar pada roda mainan yang diletakkan dalam sangkar mereka, tanpa arah tujuan," katanya.
Wednesday, July 27, 2011
Mubaligh Islam disambut dengan perang
ROMBONGAN mubaligh yang ingin berdakwah ke Najd, tidak menyangka mereka akan menjadi serangan Amir bin Tufail. Setelah Haram bin Milhan dibunuh anggota rombongan itu kini tinggal 69 orang.
Mereka dikepung segenap penjuru apabila Amir Tufail turut mendapat bantuan anggota kabilah-kabilah yang lain untuk menyerang rombongan itu.
Dikatakan kabilah-kabilah lain itu terdiri daripada Bani Sulaim, Bani Ushayyah, Bani Ri'al dan Bani Zakwan yang dijanjikan upah lumayan jika dapat membantu Amir.
Maka terjadilah pertempuran kecil namun sengit antara mereka dengan jumlah musuh jauh lebih ramai berbanding rombongan mubaligh itu.
Walau jumlah kecil, rombongan pendakwah Islam tetap memberi tentangan hebat. Mereka sama sekali tidak menyerah, kecuali menyerah diri kepada Allah supaya pendirian tidak akan berubah untuk bertindak belot jika semata-mata mahu menyelamatkan diri.
Malangnya, rombongan Islam itu tidak mampu bertahan. Di akhir serangan, hampir kesemuanya syahid.
Hanya dua orang yang terselamat dalam serangan itu iaitu Kaab bin Zaid dan Amir bin Umayyah.
Itupun setelah mereka berpura-pura mati kerana luka parah.
Setelah serangan berakhir dan pihak musuh meninggalkan begitu sahaja jenazah-jenazah para pengikut Rasulullah itu, Kaab dan Amir pun sedaya upaya bangun dan segera menuju ke Madinah bagi memberitahu apa yang terjadi kepada Rasulullah.
Di sebalik kecederaan parah yang ditanggung akibat serangan itu, mereka kuatkan semangat untuk terus bergerak dan akhirnya mereka berjaya sampai kepada Rasulullah.
Tentu sahaja Rasulullah luluh hati mendengar apa yang terjadi. Baginda tidak menyangka begitu buruk nasib yang menimpa para pengikutnya.
Dalam hati baginda mengutuk Abu Barra yang kononnya berjanji bagi memastikan keselamatan rombongan para pendakwah itu.
Yang menambah kekesalan dan kesedihan di hati Rasulullah ialah apabila mengenangkan mereka yang terkorban itu adalah individu-individu Muslim yang terbaik, dan terpilih. Mereka adalah hafiz al-Quran dan yang sangat alim.
Ia ditambah pula dengan jumlah korban yang sebegitu ramai, hampir menyamai jumlah mereka yang terkorban dalam Perang Uhud, iaitu hampir seramai 70 orang.
Jadi, bagaimana baginda tidak sedih dan mengalirkan air mata.
Lalu baginda kemudiannya melakukan doa qunut nazilah selama hampir sebulan supaya mereka yang menyerang para pengikut baginda itu ditimpa kecelakaan, musibah besar atau bala.
Di pihak Abu Barra pula dikatakan dia juga begitu terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa rombongan berkenaan.
Beliau sangat malu dengan Nabi kerana gagal mengotakan janji akan soal keselamatan para ahli rombongan itu.
Tentu sahaja apa sahaja selepas ini, baginda tidak akan mempercayainya lagi.
Abu Barra dikatakan amat sedih dan kesal atas peristiwa Bir Maunah itu (sesetengah memanggil peristiwa ini sebagai Peristiwa Pasukan Al Qurra) sehingga memakan dirinya atau lebih tepat, sehingga membawa kepada kematiannya sendiri.
Abu Barra akhirnya mati kerana rasa malu yang tidak tertanggung itu.
Kematian Abu Barra menyebabkan salah seorang anak lelakinya, Rabiah membalas dendam. Rabiah tahu kematian bapa kesayangannya itu disebabkan oleh tindakan bodoh lagi kejam Amir.
Lalu sebagai anak muda dan anak kepada seorang pahlawan, Rabiah pun terus mencari Amir bagi menuntut bela bagi pihak bapanya. Sebaik sahaja beliau dapat berhadapan dengan Amir yang menyangka Rabiah datang semata-mata untuk melepaskan rindu, lalu dia pun ditikam dengan sebatang tombak dan mati serta merta.
Ramadan dan zakat fitrah
TINGGAL beberapa hari sahaja lagi kita akan menjadi penghuni madrasah Ramadan. Bulan yang penuh dengan keberkatan. Setiap individu yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, pastinya tidak sabar menanti bulan yang kaya dengan kelebihan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Madrasah Ramadan diharapkan menjadi medan tarbiah kepada diri kita semua untuk menyucikan jiwa dan membersihkan hati (tazkiyatun nafs) dari segala sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah.
Biasanya, apabila kita menyebutkan bulan Ramadan, lantas akan mengingatkan kita tentang kefarduan puasa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi sesiapa yang sempat berada di bulan ini.
Objektif tertinggi daripada ibadah puasa ini ialah melahirkan manusia yang bertaqwa kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah: 184)
Namun, berapa ramai yang hampir terlupa tentang kewajipan yang turut ditetapkan pada bulan istimewa ini iaitu membayar zakat fitrah.
Secara umumnya, zakat dalam sudut bahasa bermaksud kesuburan (al-numuww atau al-nama'), keberkatan (al-barakah) dan pertambahan baik (ziyadah al-khayr).
Memahami maksud zakat fitrah atau dikenali juga sebagai zakat badan dimaksudkan sebagai 'satu nama bagi apa yang dikeluarkan sebanyak satu sa' daripada tamar atau satu sa' daripada bijirin (sya'ir) di bulan Ramadan ke atas setiap manusia yang merdeka ataupun hamba sama ada lelaki atau perempuan daripada orang Islam'. (lihat al-iqna' fi hall al-fadz Abi Syuja', Muhammad al-Syarbini).
Takrifan ini sebenarnya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar yang bermaksud; Rasulullah mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum (riwayat Muslim).
Buku panduan zakat yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memberikan panduan bahawa satu sa' adalah bersamaan dengan satu gantang Baghdad. Satu gantang Baghdad pula bersamaan dengan 2.7 kilogram (kg). Ia perlu dikira berdasarkan makanan ruji di sesuatu tempat.
Contohnya, pada zaman Rasulullah, makanan ruji di tempat dan zaman tersebut adalah kurma dan gandum. Sementara, makanan ruji di Malaysia ialah beras. Maka kadar zakat fitrah bagi masyarakat Islam di Malaysia ialah mengikut harga beras semasa didarabkan dengan 2.7 kg.
Kewajipan zakat fitrah adalah berlainan dengan zakat harta. Zakat harta diwajibkan apabila harta tersebut mencapai kadar nisab yang mengikut harga emas semasa dan apabila mencukupi satu haul. Apabila telah sempurna syarat-syarat tersebut, maka hendaklah dikeluarkan sebanyak 2.5% daripada harta yang diwajibkan zakat itu.
Zakat fitrah pula diwajibkan kepada mereka yang mempunyai makanan yang cukup dari malam hari raya sehinggalah pagi hari raya mengikut kadar makanan yang menjadi kebiasaan kepada masyarakat setempat.
Sekiranya dihayati, zakat fitrah mempunyai syarat yang amat mudah yang kebiasaannya dapat dipenuhi oleh umat Islam. Ini menyebabkan hampir semua individu muslim menepati kewajipan membayar zakat fitrah.
Ia juga memberi ruang kepada golongan miskin untuk turut membayar zakat bagi membantu golongan yang lebih tidak berkemampuan. Dalam konteks ini, Islam telah menaikkan martabat golongan miskin kerana dapat memberikan sumbangan melalui zakat fitrah.
Zakat fitrah juga dapat memberikan bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk meraikan kedatangan hari raya selepas berakhirnya bulan Ramadan. Kegembiraan yang disambut oleh mereka dengan rasa syukur kepada Allah SWT akan menambahkan lagi pahala mereka yang membayar zakat fitrah.
Oleh sebab itu, sebahagian ulama tidak menggalakkan membayar zakat fitrah pada awal bulan Ramadan kerana ia boleh menjejaskan tujuan sebenar zakat fitrah iaitu membantu golongan miskin merayakan Aidilfitri.
Ia juga sejajar dengan perbuatan para sahabat r.a yang membayar zakat dalam jangka masa sehari atau dua hari sebelum hari raya. (riwayat al-Bukhari).
Waktu tunai zakat fitrah
Demikian juga Nabi SAW pula amat menggalakkan pembayaran zakat sebelum keluar menunaikan solat Aidilfitri. Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar yang bermaksud: "Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidilfitri).
Walaubagaimanapun, pada pandangan penulis, masa yang paling sesuai untuk pembayaran zakat fitrah bergantung kepada situasi dan keadaan seseorang itu.
Sekiranya individu berkenaan ingin menyerahkan sendiri zakat tersebut tanpa melalui amil zakat, maka dia boleh berbuat demikian pada masa yang terhampir dengan hari raya. Namun, sekiranya sumbangan zakat itu hendak dilakukan melalui amil zakat, maka adalah lebih baik dilaksanakan secepat mungkin menjelang Ramadan.
Ini bagi membolehkan para amil yang dilantik menyerahkan sumbangan tersebut kepada golongan yang tidak berkemampuan.
Justeru, sebelum menyambut bulan Ramadhan pada tahun ini, marilah sama-sama kita membuat persiapan. Mental, fizikal dan spiritual kita perlu diperkuatkan dengan semaian iman agar madrasah Ramadan dilalui dengan cemerlang, sehingga menatijahkan darjat ketaqwaan kepada Allah.
Di samping kita berpuasa Ramadan, lengkapkanlah puasa tersebut dengan menunaikan zakat fitrah. Ini kerana, zakat fitrah akan dapat menampung segala kelemahan dan kekurangan dalam menjalani ibadah puasa Ramadan.
Ibnu Abbas r.a meriwayatkan: "Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin." (riwayat Abu Daud).
Monday, April 18, 2011
TEKS KULIAH KEMBARA KE SIDRATUL MUNTAHA 2/123
Subhanallazi arrahamdih…Bismillahirrahmanirrahim…
Jadi tuan kitab kita dia mulakan dengan Bismillah. Dia sendiri pun cakap “Ku mulai kitab ini dengan nama Allah Yang Amat Murah lagi Amat Mengasihani akan hambanya yang mukmin di dalam negeri Akhirat”. Jadi dalam Bismillah ini tuan-tuan dia ada 3 nama tuhan. Yang pertama Allah, yang kedua Ar-rahman dan yang ketiga Ar-rahim. Tiga nama Allah itu adalah nama zat yang sebenar-benarnya. Nama dia yang sebetulnya. Sedangkan Ar-rahman dan Ar-rahim adalah nama gelaran-Nya. Bila kita baca Bismillah saja dah ada 3 nama tuhan. Sebab itu kalau kita hadapi gangguan syaitan, kita baca Bismillahirrahmanirrahim dia ada kesan dia. Sebab 3 nama tuhan di dalamnya. Jadi kata tuan kitab kita ni, tuhan ini mengasihani hambanya yang mukmin di dalam negeri Akhirat. Di hari Akhirat nanti, orang yang dapat kasih saying tuhan ialah orang-orang mukmin.
Apa maksud mukmin? Iaitu orang-orang beriman. Bukan sekadar muslim. Kalau muslim ialah orang-orang islam. Kita kena lebih lagi. Tidak setakat muslim tetapi mukmin. Mukmin orang-orang beriman selain dari orang-orang mukmin, kemingkinan besarlah dia tidak dapat kasih saying tuhan di hari Akhirat nanti. Sebahagian ulama juga mentafsirkan Ar-Rahman dan Ar-Rahim ini sebagai pemurah dan penyayang. Sifat pemurah Allah SWT ini dia jatuh kepada semua orang. Tidak kira dia itu manusia ke…jin ke..kafir ke…munafik ke..beriman ke…semua dapat sifat Ar-Rahman dia. Bukti dia, dia turunkan hujan. Semua dapat hujan. Dia bagi air, semua dapat minum air. Dia bagi alam semesta ini semua dapat duduk dalam alam semesta. Dia bagi oksigen percuma, semua dapat hirup oksigen. Jadi sifat Ar-Rahman jatuh pada semua. Tetapi kata ulamak, sifat Ar-Rahim, sifat penyayang dia jatuh kepada orang-orang beriman saja.
Itulah yang disebut oleh tuan kitab kita tadi. Dia kata sifat penyayang ini jatuh kepada orang-orang mukmin iaitu yang beriman sahaja. Jadi kalau kita orang islam ini beruntung. Sebab kita dapat kedua-dua iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Tetapi orang-orang kafir dia hanya dapat sifat Ar-Rahim saja daripada tuhan iaitu sifat pemurah. Ringkasnya sifat pemurah Allah ini dia pemurah kepada semua makhluk. Tetapi sifat penyayang ini hanya kepada orang-orang yang mukmin iaitu orang-orang yang beriman. Itu tafsir ulamak. Segala puji bagi Allah yang memberi atas hambanya dengan beberapa nikmat Allah yang tiada terhingga. Jadi nak cerita dlam bahasa Arab segala puji ini “Alhamdulillah”. Kita pun pernah mengupas puji-pujian ini dalam pengajian yang lalu.
Puji-pujian ada 4 jenis puji. Yang pertama Yang Khadim puji yang Khadim. Sekejap lagi kita huraikan. Sebagai imbas kembali. Puji yang kedua Yang Khadim puji Yang Baharu. Puji yang ketiga Yang Baharu puji Yang Khadim. Dan puji yang keempat Yang Baharu puji Yang Baharu. Sebagai imbas kembali. Mula-mula kita kena tahu apa maksud Khadim? Khadim ini maksudnya asal-asal memang dah ada. Tiada siapa yang buat. Siapa dia itu…? Tuhan. Daripada awal lagi dah ada. Siapa dia Allah SWT. Jadi sifat Allah itu Khadim. Yang kita makhluk ni tak Khadim. Sebab apa? Awal-awal dulu kita tiada langit dan bumi asal-asalnya tak ada. Selepas tuhan cipta baru ada. Itu nama baharu. Asal-asal tak ada lepas tu baru ada, nama dia baharu. Berbeza dengan Khadim. Kita pun sama. Malaikat pun sama. Seluruh makhluk ni pun sama. Asal-asalnya tak ada. Lepas tuhan cipta barulah ada. Itu namanya baharu. Jadi berlawan. Yang Khadim tadi hanya Allah SWT. Dia asal-asal dah ada. Yang baharu tadi makhluk. Asal-asal tak ada, selepas itu baru ada. Itu bezanya.
Jadi Yang Khadim puji yang Khadim apa maksudnya? Allah puji diri dia sendiri. Dalam Al-Quran, banyak ayat-ayat puji dia sendiri. Yang Khadim puji yang Khadim. Jenis yang kedua, yang Khadim puji yang baharu. Maksud dia Allah puji makhluk. Contohnya Allah puji para nabi di dalam Al-Quran. Dengan ayat-ayat dialah. Yang ketiga, yang baharu puji yang Khadim. Maksudnya makhluk puji Allah. Kita kata “Alhamdulillah”. Itu segala puji bagi Allah. Baharu puji Khadim. Tiap kali kita sebut “Ahamdulillah”, keadaan dia adalah baharu puji yang Khadim. Puji Allah. Dan yang keempat, yang baharu puji yang baharu. Maksudnya makhluk puji makhluk. Sama-sama kita puji. Contohnya kita kata “ooo…Pak Mat itu baik orangnya….”. Yang puji tu sapa..? Kita…manusia…makhluk. Yang kena puji pun makhluk juga. Jadi yang baharu puji yang baharu. Jadi imbasan kembali. Puji ini ada 4 jenis. Puji macam yang dikatakan Allah ini Khadim. Kita ambik sikit..sentuh sikit bab tauhid.
Warna ialah baharu. Asal-asal dahulu warna tak ada. Selepas tuhan cipta warna, barulah warna ini ada. Sebelum tuhan cipta warna, warna tak ada. Jadi macamana keadaan tuhan itu..zat tuhan tu..? Zat tuhan ini sangat istimewa, sangat luar biasa, sangat hebat. Dia tidak terpengaruh dengan warna. Diri tuhan tak terpengaruh dengan warna. Sebab itu tuhan ini Dia tak ada warna. Kita tak boleh kata “Tuhan warna merah kot….” “Tidak…”. Dia tidak terpengaruh dengan warna. Merah pun dah macam jenis merah. Banyak cabang-cabang warna merah. Kuning pun bukan, hitam putih pun bukan, jernih pun bukan. Jadi tuhan tidak terpengaruh dengan warna. Begitu hebatnya!
Kemudian gelap dan terang. Sebelum gelap dan terang dicipta oleh Allah, gelap dan terang ini tak ada. Gelap pun tak ada…terang pun tak ada. Kita tak boleh bayang keadaan Dia. Jadi tuhan ini, Dia berada di dalam keadaan tak terang…tak gelap. Macamana kita nak bayang..? Tak boleh bayang. Dia sangat luar biasa. Selepas tuhan cipta gelap dan terang barulah ada. Dulu asal-asal gelap dan terang tiada. Gelap dan terang adalah makhluk. Gelap pun baharu, terang pun baharu. Dua-duanya ada selepas tuhan cipta barulah ada. Begitu jugak dengan tempat. Asal-asalnya dulu tempat tak ada. Mana-mana tempat pun tak ada. Tak ada ruang. Ruang pun belum dicipta. Lepas Allah cipta tempat, baru ada tempat. Sebab itu dikatakan Allah tiada bertempat. Dia tidak terpengaruh dengan tempat. Allah juga tidak terpengaruh dengan posisi. Dia tak duduk di depan, tak duduk dibelakang, tak duduk di atas. Sebab semua atas, depan, belakang, semua ini adalah makhluk. Asal-asal tak ada, lepas tu baru ada. Jadi macamana nak kata Allah bertempat. Sebab tempat pun dia yang cipta. Jadi Allah tak bertempat.
Jadi kita ringkaskanlah, Allah ini zatnya tak terpengaruh dengan warna, Allah tak ada warna apa-apa, Allah juga tak terpengaruh dengan gelap dan terang. Dia tidak duduk tempat gelap, tidak duduk tempat terang. Yang duduk tempat gelap dan terang adalah makhluk. Allah juga tak ada bertempat, Dia tak ada ruang, Dia tak ada bentuk. Jangan kita dok gambar-gambar bentuk macamana Allah. Tak ada bentuk pun. Sebab bentuk pun makhluk juga. Bentuk pun baharu jugak. Begitu jugak dengan sempadan tepi. Beza kita ada tepi. Badan kita ada tepi. Langit kita ada tepi. Ada sempadan. Semua makhluk, dia ada sempadan. Kalau Allah, Dia tak ada sempadan. Sebab itu dikatakan Allah Maha Besar. Dia tak ada sempadan. Syurga..Ada sempadan ke tak..? Ada sempadan. Kalau Syurga tak ada sempadan, maksudnya sekarang ni kita duduk dalam syurga le. Sebab syurga sampai ke sini. Tapi disebabkan ada sempadan tadi, maka kita tak duduk dalam syurga. Ada had dia. Ada sempadan. Begitu juga neraka. Neraka pun ada sempadan, ada had, ada tepi dia. Kalau neraka ni tak ada sempadan, maksud dia kita semua dok dalam neraka. Nasib baik Allah buat sempadan bagi syurga. Buat sempadan bagi neraka. Katakanlah kedua-dua tu tak ada sempadan, dua-dua sekali kita duduk. Dalam neraka pun duduk, dalam syurga pun duduk. Tak ada. Semua makhluk dia ada sempadan dan tepi. Hanya Allah sahaja tak ada sempadan dan tepi.
Thursday, March 31, 2011
TEKS KULIAH KEMBARA KE SIDRATUL MUNTAHA 1/123
Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya dan pilihannya, maka pada hari ini walaupun hujan, kita dapat bersama-sama berada di dalam rumah Allah sebagai tetamu Allah. Insyaallah pada malam ini kita akan masuk kepada kitab yang baru, sebagaimana yang dijanjikan iaitu kitab Kifaayatul Muhtaaj. Jadi buat sementara ini kita berhenti dahulu kitab Munyatul Musolli dan Peristiwa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman.
Kitab Kifaayatul Muhtaaj ini yang membicarakan kisah Israk dan Mikraj. Kebetulan kita pun sudah hampir kepada bulan dimana peristiwa Israk Mikraj dipercayai berlaku iaitu bulan Rejab. Biasanya guru-guru mengajar kitab ini lebih kurang 1 ½ jam. Paling lama 2 jam. Bila sampai saja bulan Israk Mikraj, kita pun panggillah mana-mana ustaz, mana-mana penceramah, mereka datang dan kita buat makan-makan sikit. Tok guru pun ceritalah asal-usul Israk Mikraj. Tapi sekadar itulah cerita Israk Mikraj yang kita dapat lebih kurang 1 ½ jam ataupun 2 jam paling lama. Dalam tempoh 1 ½ jam ke 2 jam itu nak cerita peristiwa Israk Mikraj sepenuhnya tak dapat. Insyaallah, kita di surau ini kita akan baca satu kitab yang mungkin akan ambik masa beberapa minggu baru habis. Seluruh cerita Israk Mikraj akan kita bongkar. Tidak sekejap-sekejap saja, semuanya kita ambik dari segi pengajarannya, dari segi kaitannya dengan akhir zaman ini dan apa saja yang bermanfaat daripada kisah Israk Mikraj ini. Sebab apa tuan-tuan, Israk Mikraj ini sebenarnya rapat dengan kita kerana pada setiap kali kita sembahyang, dalam tahiyat dia bercerita tentang Israk Mikraj. “At-Tahiyya…” itu cerita Israk Mikraj. Setiap kali sembahyang Israk Mikraj.
Jadi kita berhenti sementara kitab-kitab yang kita belajar sebelum ini. Biasanya kita baca kitab Hadis 40 Peristiwa Akhir Zaman. Kitab Hadis 40 ini ada banyak jenis. Kenapa kita pilih Hadis 40 Akhir Zaman? Kerana dia memang sesuai dengan apa yang berlaku di sekeliling kita hari ini. Apa yang kita belajar memang dia kena dengan sekeliling kita dan kita boleh lihat realitinya ketika ini. Sebab itu kita pilih Kitab Hadis 40 Peristiwa Akhir Zaman. Disamping itu apabila kita mengetahui apa yang berlaku disekeliling kita, kita bolehlah ambik persediaan, kita ambik langkah berjaga-jaga. Kitab Hadis 40 Akhir Zaman itu memang sesuai dengan dunia hari ini, kemudian kita juga ada belajar kitab Munyatul Musolli yang mana isi kandungan utamanya ialah cerita tentang sembahyang. Ibadah sembahyang dari mula sampailah habis.
Dan Alhamdulillah, setakat ini kita dah belajar daripada mula kitab sampailah kepada solat Qiah. Kalau kita ikut yang itu sahaja pun sudah cukup lengkaplah sembahyang kita Cuma selepas ini kita kan sambung cerita tentang tasauf, tentang isi batin sembahyang itu nak bagi cantik lagi macamana. Seterusnya kita ada juga menyentuh dalam pengajian-pengajian kita Kitab Kimia as-Saadah karangan Imam Al-Ghazali, ini satu kitab tasauf yang jarang-jarang ada orang mengajar, jadi kita ambik kesempatan kita sentuh sikit-sikit kerana apa? Kerana kimia as-Saadah kita ini sebagai `release tension’. Sapa-sapa rasa rimas, rasa malas nak beramal ibadah, kalau dia dengar kitab ini, dia akan rasa bersemangat balik. Sebab itu ada satu orang muda dia kata dia` tension’ dan dia nak belajar agama tetapi `tension’. Saya kata dengar dulu kuliah Kitab Kimia as-Saadah yang telah diupload ke internet. Setakat hari ini sudah sebelas kuliah kitab itu. Dengar yang itu, insyaallah hati jadi tenang serba sedikit.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian.
Sekarang kita masuk kepada kitab yang baru kitab Kifaayatul Muhtaaj. Sapa dia pengarang kitab ini? Tidak lain ialah Syeikh Daud Fatoni iaitu orang yang sama karang kitab Munyatul Musolli yang kita belajar. Jadi tak perlulah kita huraikan panjang lebar tentang biodata syeikh ini. Kita pun kenal sangatlah. Dia ini seorang ulama besar yang dipercayai bertaraf wali Allah yang hidup pada zaman dahulu. Berasal dari Pattani, Siam. Jadi kitab ini tuan-tuan dia cerita tentang Israk dan Mikraj dari mula sampai habis.
Israk ini apa dia? Ringkas cakap Israk ialah perjalanan Nabi Muhammad pada waktu malam daripada Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Ansar di Palestin. Dia berjalan melintang. Mikraj pula ialah perjalanan Nabi Muhammad daripada Masjidil Ansar sampai ke langit ke-7, sampai atas daripada Sidratul Muntaha, samapailah berjumpa berdepan dengan Allah S.W.T. Jadi Israk ini perjalanan melintang. Kalau Mikraj ini secara umumnya perjalanan menegak naik ke atas. Kenapa kita pilih Kitab Kifaayatul Muhtaaj ini yang membicarakan tetang Israk Mikraj. Antara sebab yang pertama sebagaimana yang disebutkan tadi setiap kali dalam sembahyang, dalam tahyat kita dia berkisar tentang Israk Mikraj.
Jadi kita rasa rugi sangatlah kita dok baca “At-Tahiyya..” banyak kali dalam masa sehari tapi kita tidak tahu kisah disebaliknya. Jadi insyaallah, kita akan bongkar, selongkar apa-apa isi daripada peristiwa tersebut. Yang ke-2, sebagaimana yang disebutkan tadi juga, jarang ada guru yang mengajar kitab ini habis. Biasanya kita panggil penceramah, dalam masa 1 ½ jam dia pun cerita. Dalam masa 1 ½ jam tu tak banyak yang boleh dia cerita. Saya pernah dengar satu ustaz mengajar, 1 ½ jam tu dia sempat cerita pasal Israk saja. Perjalanan melintang saja. Nabi Muhammad naik buraq daripada Mekah ke Palestin. Yang tu saja. Masa dah nak habis dah. Tak sempat naik ke langit pun. Dah naik nak turun pulak daripada langit. Turun daripada langit dari Palestin balik ke Mekah pulak. Semua itu ada cerita. Macam-macam cerita yang sangat menarik. Lepas itu, daripada malam Israk tu pulak ada juga cerita menarik lagi. Jadi kita nak bongkar semua sekali. Banyak ni cerita-cerita menarik dalam ni.
Peristiwa Israk Mikraj ini juga dia sebenarnya membuka cerita tentang alam semesta macamana kedudukan alam ini. Langit-langit, susunan langit-langit yang macamana kata langit yang ketujuh. Macamana kata bumi 7 petala bumi semua itu kita akan sentuh kalau tak banyak sikit. Dan yang pentingnya, peristiwa Israk Mikraj ini ada penunjuk, ada pedoman, ada panduan untuk kita umat akhir zaman. Sebab itu Allah SWT kekalkan ia dalam tahiyat kita setiap kali sembahyang kita baca. Baik dari segi tasaufnya, politiknya, dari segi perjuangan jemaah-jemaah islam, dari segi kekeluargaan, dari segi kajian sains dan lain-lain. Semuanya ada di dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Penting. Jadi kita berpindahlah kepada kitab kita Kifaayatul Muhtaaj. Sebuah kitab lama, mungkin 100 tahun lebih, mungkin 200 tahun dia punya umur.