www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Wednesday, March 28, 2007

Sentiasa Mengingati Allah S.W.T.


Rasulullah S.A.W bersabda:

“Jagalah Allah, maka engkau akan mendapatkan-Nya di depanmu. Kenalilah Allah pada masa kesenangan maka Allah akan mengenalimu pada masa kesusahan. Ketahuilah bahawa sesuatu yang terlepas daripadamu tidak akan mengenaimu dan yang menjadi bahagianmu tidak akan terlepas daripadamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu berserta kesabaran. Kegembiraan itu sesudah kesusahan. Setiap ada kesusahan itu pasti ada kelapangan.

(at-Tirmizi)

Wednesday, March 21, 2007

Memohon Hanya Kepada Allah S.W.T.


Dari Ibnu Abbas (r.a) beliau berkata: Suatu hari saya berada dibelakang Rasulullah S.A.W. dan beliau bersabda:

“Wahai budak kecil. Aku akan mengajarkan engkau beberapa ayat: Jagalah Allah maka Dia akan menjagamu, Jagalah Allah maka engkau akan mendapatkan-Nya sebagai penerangmu. Jika engkau minta, mintalah kepada Allah. Apabila engkau menghendaki pertolongan, mintalah kepada-Nya. Ketahuilah seandainya umat ini berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu tentang sesuatu, maka tidaklah dapat mereka memberimu manfaat melainkan sesuatu yang telah dipastikan oleh Allah kepadamu. Jika mereka berkumpul untuk membahayakan engkau tentang sesuatu, maka tidaklah dapat mereka membahayakanmu melainkan sesuatu yang telah dipastikan oleh Allah bagimu kerana pena telah terangkat dan kertas yang ditulis pun telah kering.

(at-Tirmizi)

Monday, March 19, 2007

Kelebihan berzikir


Dari Abu Hurairah (r.a), beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Allah S.W.T berfirman: Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku akan bersamanya apabila dia mengingati-Ku.Apabila dia mengingati-Ku maka Aku akan mengingatinya pada diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam satu kelompok, Aku akan mengingatinya dengan kelompok yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa.Apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan mendekatinya dengan berlari”
(Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi).

Friday, March 16, 2007

SIFAT-SIFAT ORANG MUSLIM



SIFAT-SIFAT SEORANG MUSLIM


Dalam pertemuan yang lalu kita telah membuat ‘check-list’ adakah aqidah kita selama ini benar-benar aqidah seorang Islam, dan kita telahpun lulus kesemua ciri-cirinya. Kali ini kita akan menilai adakah akhlak kita selama ini akhlak seorang Muslim. Antara ciri-cirinya adalah:

1. WARAK- Saya mestilah seorang yang warak iaitu tidak melakukan perkara-perkara yang haram, berusaha untuk tinggalkan perkara-perkara yang makruh dan menjauhi perkara-perkara syubhat (perkara-perkara kesamaran iaitu yang kita kurang jelas adakah perkara itu halal ataupun haram. Ada orang kata boleh dan ada orang kata tak boleh)

2. MENUNDUKKAN PANDANGAN- Saya mestilah berusaha untuk tidak melihat perkara-perkara yang haram dan juga perkara-perkara yang mempengaruhi saya untuk mencintai keduniaan

3. PELIHARA LIDAH- Saya mestilah memelihara lidah saya daripada mengumpat orang, menjadikan orang lain sebagai bahan ejekan, melawak berlebih-lebihan, bercakap kasar (kalau pada wanita akan lebih ketara), mencaci, menghina, tertawa kuat, rajin nak komen orang lain dan seumpamanya.

Pesan Nabi saw:
“Orang yang beriman itu bukanlah orang yang suka menuduh, suka melaknat, suka cakap yang kotor-kotor dan keji.”
(Turmizi)


Satu cara mudah untuk menjauhi perkara-perkara ini adalah dengan mengelakkan daripada berkawan baik dengan orang-orang sebegitu. Pilihlah teman yang baik-baik.
Golongan yang rajin komen orang lain ini agak bahaya. (* Dia suka mempertikaikan tindakan orang lain untuk menunjukkan pemikirannya adalah lebih baik dan perlu diberi perhatian.)
Ini tidak bermaksud kita tidak boleh bergurau, tetapi biarlah gurauan kita itu berpada-pada/ tidak melampaui batas dan kena pada tempatnya. Nabi Muhammad sendiri bergurau.

Contoh: Seorang wanita beritahu Nabi tentang hal suaminya begini dan begini. Kemudian kata Nabi (* dalam bahasa pasar orang Melayu): “Ooo… suami kamu yang mata dia ada putih-putih tu kan?” Wanita itu terkejut lalu berkata: “Eh, mana ada. Mata suami saya biasa je macam mata orang lain.” Jawab Nabi: “Betul le tu. Kan ke mata setiap manusia mesti ada bahagian yang putih.” Mereka pun tersenyum

Contoh 2: Nabi Muhammad danm Saidina Ali makan beberapa biji buah kurma. Apabila habis, Nabi Muhammad meletakkan biji-biji bahagiannya di tempat biji-biji yang dimakan oleh Saidina Ali. Kemudian kata Nabi (* dalam bahasa pasar kita): “Ish ish ish Ali! Engkau makan sebegitu punya banyak kurma. Tengok, berapa banyak biji yang ada kat depan engkau.” Saidina Ali yang bijak membalas gurauan Rasulullah dengan berkata: “Tapi, engkau lagi dahsyat ya Rasulullah. Tengok, dengan biji-biji sekali engkau makan (kerana di depan Rasulullah dah tak ada biji kurma lagi).”

Contoh 3: Rasulullah hendak menaikkan seorang wanita ke atas unta sebagai kenderaan (*kalau tak silap Saidatina Aisyah). Kata Nabi (dalam bahasa pasar kita): “Aku nak naikkan engkau ke atas anak unta.” Jawab wanita itu: “Mana boleh naik anak unta. Tentulah saya kena naik unta dewasa.” Balas Nabi: “Betul le tu. Kan ke unta dewasa tu pun anak kepada seekor unta jugak dulu.”

4. MALU- Saya mestilah seorang yang pemalu dan malu saya itu biarlah kena dengan tempatnya. Janganlah malu kita itu menjadi penghalang daripada kita berdakwah, daripada beramar makruf nahi mungkar. Nabi Muhammad sendiri sangat pemalu. Dikatakan baginda lebih pemalu daripada anak dara di sebalik tirai tetapi dia tidak malu untuk berdakwah. Hari ini sifat malu telah banyak hilang daripada manusia terutamanya para wanita.

5. BERSOPAN & SABAR- Saya mestilah seorang yang sopan, lemah-lembut dan sabar. Ini kerana jalan dakwah ini penuh dengan ranjau-ranjau seperti tidak disukai orang, susah, hina, tindasan, fitnah dan sebagainya tetapi kita beringatlah… bahawa itulah jalan yang telah ditempuh oleh para rasul, para nabi, para aulia (para wali Allah) dan para solehin. Kalau kita hendak sentiasa hidup senang, maka jadilah kita seperti Firaun yang kaya raya, makan sedap, tak pernah sakit dan sebagainya. (*Jalan mana yang kita nak pilih?)

Maksud firman Tuhan:
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”
(Surah Az-Zumar: 10).


Namun begitu sabar kita biarlah bertempat. Janganlah sampai kita dipijak kepala tetapi masih lagi bersabar. Sebagaimana kata Imam Syafie: “Sesiapa yang orang membuatnya marah tetapi dia masih tak marah, maka orang itu seperti kaldai.” Maksudnya marah kita biarlah sesuai dengan tempat. Jangan pula kita tidak sabar, hinggakan hal-hal yang kecil pun nak marah.

Bersabar dan bersopan ini biasanya orang boleh buat ketika senang saja. Ketika dalam kepayahan, hilang semua itu dan timbul pula sifat tak sabar dan kasar. Kalau kita nak uji seseorang itu betul-betul sabar dan bersopan atau tidak, maka lihat keadaannya ketika dalam kepayahan seperti mendaki gunung, buat kerja berat, dalam kesusahan dan seumpamanya. Semasa senang dan selesa, bolehlah dia menunjukkan sikap sabar dan sopannya, tetapi ketika susah, bolehkah dia mengekalkan sifat-sifat itu?

6. BENAR & JUJUR- Saya mestilah sentiasa benar dan bersikap jujur. Sekali orang tak percaya dengan kita, maka susahlah kita hendak mendapatkan kepercayaan orang di lain kali. Sebab itu berwaspadalah dengan fitnah, kerana fitnah orang boleh menmyebabkan orang lain hilang kepercayaan kepada kita.

Pesan Nabi:
“Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga.”
(Bukhari & Muslim)


Contoh: Kisah seorang gembala yang bergurau kononnya ada harimau-serigala datang nak makan ternakannya. Maka orang kampung tergesa-gesa datang hendak mengusir harimau itu. Rupa-rupanya si gembala menipu dengan tujuan hendak mengenakan orang kampung. Balasannya, pada masa yang lain memang benar ada harimau datang. Si gembala menjerit minta bantuan orang kampung tetapi mereka tak datang lagi kerana anggap si gembala menipu seperti dahulu.
Lihatlah kejujuran Nabi Muhammad hinggakan digelar Al-Amin iaitu seorang yang sangat terpercaya kerana tidak pernah berdusta. Apabila baginda promosikan dakwahnya, maka orang-orang Quraisy sukar untuk menolak kerana mereka yakin Nabi Muhammad tak pernah menipu. Dalam keadaan begitupun masih banyak orang Mekah yang tak mahu beriman dengan baginda. Bayangkan kalau kita yang bukan Al Amin ini, tentulah lagi sukar untuk dipercayai orang. Seandainya Nabi Muhammad bukan Al Amin, maka tentulah dakwahnya tidak akan berjaya.

7. TAWADUK- Saya mestilah bersikap tawaduk iaitu merendah diri. Rendah diri saya itu mestilah sesuai dengan tempatnya hinggakan saya boleh bergaul dengan orang atasan dan boleh juga bergaul baik dengan orang bawahan. Apabila berbicara dengan orang kampung, janganlah kita gunakan laras bahasa orang atasan seperti bercakap dengan professor. Ini tak lain tujuannya nak menunjukkan yang kita ini hebat. Jangan bersikap begitu. Elakkan diri daripada bersikap bangga diri, tinggi diri dan takbur. Lihat contoh Iblis. Asalnya dia ratusan atau ribuan tahun beribadah kepada Tuhan (kita berapa tahun beribadah kepada Tuhan) hinggakan doanya lebih makbul daripada doa para malaikat. Tetapi kerana sikapnya yang meninggi diri iaitu tidak mahu sujud kepada Nabi Adam (kerana menganggap dirinya yang dicipta daripada api jauh lebih mulia berbanding Adam yang dicipta daripada tanah) maka dia diusir daripada syurga, dilaknat selama-lamanya dan akan kekal dalam neraka. Hanya sebab itu sahaja. Maka kita berwaspada agar tidak terkena penyakit ini.

Pesan Nabi:
“Tak akan masuk syurga orang yang ada sebesar atom sifat takbur dalam dirinya.”
(Muslim)


8. JAUHKAN SIFAT BURUK SANGKA, MENGUMPAT & MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN.
Contoh: Kalau ada kawan kita tak tepati janji, kita bersangka baik dulu. Boleh jadi dia ada masalah yang tak boleh dielakkan. Jangan suka mengorek rahsia keburukan orang lain untuk dibuat bahan sedapkan cerita.

9. PEMURAH- Saya mestilah tidak kedekut untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta dan wang saya untuk agama. Kita tak akan mampu mengikut jejak para sahabat dari segi pengorbanan, tapi janganlah kita tak berkorban langsung. Segala pengorbanan kita akan dibayar oleh Tuhan dengan mata wang, tetapi mata wang ini belum laku di dunia. Ia hanya akan laku apabila kita tiba di akhirat kelak.

Contoh: Kisah Saidina Umar cuba nak lawan Saidina Abu Bakar dari segi korban harta. Pernah satu ketika umat Islam perlukan harta untuk peperangan. Maka Saidina Umar bawa separuh daripada hartanya untuk didermakan. Dia beranggapan dapat mengalahkan Saidina Abu Bakar, tetapi Abu Bakar rupanya mengeluarkan seluruh hartanya. Begitulah pengorbanan para sahabat.

10. KUDWAH HASANAH (Jadi contoh/ model yang baik)- Saya mestilah berusaha untuk menjadikan diri saya ikutan yang baik kepada orang lain. Saya mestilah menjaga pertuturan saya, akhlak saya, makan minum saya, cara saya berpakaian, kerja saya dan sebagainya sama ada dalam keadaan senang ataupun ketika kesusahan. (*Orang menilai daripada penampilan kita. Kalau penampilan kita baik, maka orang lebih mudah menerima dakwah kita). Kalau orang lihat kita pun orang dah tak berminat, bagaimana hendak berdakwah. (*Jadikan diri kita seorang yang menarik, tapi dalam batas-batas Islam dengan tujuan kerana dakwah)
Satu cara mudah untuk menilai diri kita ialah dengan membayangkan ada seorang ulama berdiri di sebelah kanan kita dan ada pula seorang artis Hollywood di sebelah kiri kita. Nilai diri sendiri, kita lebih menyerupai siapa? Yang di sebelah kanan atau di sebelah kiri?

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

http://abuzulfiqar.tripod.com/id24.html

Wednesday, March 14, 2007

AKHLAK YANG BAIK



Dari Abu Darda (r.a), beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

“ Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amal seorang hamba pada hari kiamat nanti melebihi dari akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang jahat dan kotor perkataannya”.
( Abu Daud dan at-Tirmizi)


Dari Abu Hurairah (r.a), beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

“ Orang-orang mukmin yang sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya”.
(Abu Daud dan at-Tirmizi)



Dari Jabir (r.a), beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

“ Bahawa orang yang aku sukai di antara kamu dan paling dekat tempatnya denganku pada hari kiamat nanti adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu. Orang yang paling kubenci di antara kamu dan paling jauh tempatnya denganku pada hari kiamat nanti adalah orang yang paling banyak cakap di mana tidak teliti dalam bercakap dan mutafaihikun”.

Para sahabat bertanya: Siapakah al mutafaihikun (tinggi diri) itu?
Jawab Rasulullah S.A.W : “ Iaitu orang-orang yang takbur (tinggi diri)”.
(at-Tirmizi)

Tuesday, March 13, 2007

KELEBIHAN KALIMAH لا الاه اللا الله



Dari Abu Hurairah (r.a) beliau berkata: Saya bertanya:
Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling bahagia mendapatkan syafaatmu pada hari kiamat nanti?

Rasulullah S.A.W. menjawab:

“Wahai Abu Hurairah, sungguh saya menduga tidak ada seorang pun yang mendahului engkau untuk menanyakan perkara ini, kerana aku melihat minatmu terhadap hadis. Manusia yang paling berbahagia mendapatkan syafaatku pada hari kiamat nanti adalah orang yang mengucapkan kalimah لا الاه اللا الله dengan ikhlas dari hatinya atau jiwanya.
(Bukhari)


Dari Ubadah bin Shamit (r.a), Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:

“Sesiapa naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya dan Isa (a.s) adalah hamba, utusan dan kalimat-Nya serta roh yang diletakkan Allah ke dalam diri Maryam. Dan sesungguhnya syurga itu haq (benar adanya), neraka haq, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga ekoran amal yang telah diperbuatnya.
(Bukhari, Muslim, at-Tirmizi)


Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesiapa naik saksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan Muhammad utusan-Nya, maka Allah mengharamkan neraka baginya.
(Muslim)

Monday, March 12, 2007

Wanita Sebaik-baik Perhiasan Dunia


Isteri yang solehah merupakan kekayaan yang paling berharga buat suaminya setelah dia beriman kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya. Islam menganggap isteri yang solehah itu adalah salah satu sebab mencapai kebahagiaan.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Seseorang mukmin tidak memperolehi kemanfaatan setelah bertaqwa kepada Allah Azza wa jalla yang lebih baik selain isteri yang solehah, jika suami menyuruhnya dia taat, jika dipandang dia menyenangkan, jika ia bersumpah kepadanya dia mengiyakan dan jika suaminya pergi (jauh dari pandangan) maka dia memelihara diri dan harta (suaminya)".
(Ibnu Majah)



Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita
solehah".
(Muslim)


Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Di antara kebahagiaan anak Adam (adalah) isteri solehah, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang baik".
(Ahmad)

Sunday, March 11, 2007

SELALU BERKATA ,BERCAKAP DAN BERBUAT BENAR



Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Kamu harus berkata dan berbuat benar, sebab benar itu membawa kebaikan, sedangkan kebaikan itu membawa ke Syurga. Seseorang tidak henti-hentinya berkata dan berbuat benar dan mencari kebenaran, sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai Syiddiq (tukang benar). Dan kamu jangan berkata dan berbuat dusta, sebab dusta itu membawa kejahatan, sedangkan kejahatan membawa ke Neraka. Seseorang tidak henti-hentinya berkata dan berbuat dusta dan mencari kedustaan, sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai Kazzab (tukang pendusta)".

(Bukhari)

Friday, March 9, 2007

UMMUL MU' MININ KHADIJAH r.a.



UMMUL MU'MININ KHADIJAH BINTI KHUWAILID r.a.

Khadijah r.a. merupakan isteri Nabi Muhammad S.A.W. yang pertama. Beliau telah berkahwin dengan Rasulullah ketika umurnya 40 tahun. Manakala Nabi Muhammad S.A.W. berumur 25 tahun.

Pada mulanya, Khadijah telah dilamar oleh Warqah bin Naufal. Tetapi perkahwinan ini tidak dilangsungkan. Suaminya yang pertama ialah Atiq bin Aaiz. Hasil perkongsian hidup, mereka telah memperolehi seorang anak perempuan yang bernama Hind. Selepas suaminya Atiq bin Aaiz meninggal dunia, Khadijah telah berkahwin dengan Abu Halah. Hasil dari perkahwinan itu, mereka telah memperolehi dua orang anak iaitu Hind dan Halah.

Selepas kematian suaminya Abu Halah, Nabi Muhammad S.A.W. telah berkahwin dengan Khadijah yang mana beliau merupakan isteri Rasulullah yang pertama. Hasil perkongsian hidup bersama Rasulullah S.A.W., mereka memperolehi enam orang anak iaitu dua orang lelaki dan empat orang perempuan. Mereka terdiri dari Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Ummu Khalsum dan Fatimah. Nabi Muhammad S.A.W. mempunyai seorang lagi anak lelaki bernama Ibrahim yang telah dilahirkan oleh hamba perempuannya iaitu Mariah.

Khadijah telah banyak berjasa kepada Rasulullah. Rasulullah S.A.W. sangat sayang pada beliau. Khadijah telah dikenali dengan “TAHIRAH” (yang bererti suci dan bersih) walaupun ketika itu beliau masih belum memeluk Islam.Khadijah telah meninggal dunia dalam bulan Ramadhan pada tahun ke sepuluh Hijrah. Pada ketika itu, Khadijah berumur 65 tahun.

MUHASABAH DIRI KE ARAH MUKMIN CEMERLANG



MUHASABAH DIRI KE ARAH MUKMIN CEMERLANG
Oleh Alexanderwathern

Ada orang Islam yang begitu gigih membaca al Quran, setiap hari melebihi satu juzuk tetapi malangnya dia tidak mengusahakan solat-solat sunat. Dia berasa puas hati dengan amalannya membaca al Quran itu tanpa mengambil tahu aspek-aspek ibadah yang lain. Ada orang yang begitu rajin berwirid, saban hari zikirnya ribuan tetapi dia tidak berdakwah kepada sesiapa. Ada yang solat sunat melebihi dua puluh rakaat dalam sehari semalam, dia berasa puas begitu tapi mengabaikan solat fadhu berjemaah di tempat azan dilaungkan , iaitu di surau ataupun masjid. Ada yang ke sana ke mari berceramah dan mengajar agama tetapi malangnya tidak pula membuat kuliah harian atau minggan untuk anak isteri sendiri. Ada pula yang begitu rajin berjemaah di masjid, tetapi malas mencari ilmu agama melalui jalan membaca, menonton, mendengar, mengarang, mengumpul bahan dan sebagainya.




Keadaan-keadaan di atas menghasilkan individu yang tidak seimbang. Minda mereka perlu dibuka agar mereka tidak berasa puas hati dengan apa yang mereka usahakan sahaja. Bagi sesetengah orang, mereka memahamkan diri mereka bahawa apa yang mereka usahakan itulah jalan agama yang sebenar. Kalau dia rajin mengerjakan solat sunat melebihi dua puluh rakaat setiap hari, dia akan memandang rendah kepada orang lain yag hanya mampu melakukan enam rakaat sahaja sehari semalam. Maka keluarlah daripada mulutnya nasihat-nasihat agar orang lain mencontohinya. Tetapi dia tidak sedar kemungkinan individu yang dinasihatinya itu mungkin ada melakukan amalan yang lain seperti berdakwah, menghafaz dua puluh minit sehari, membaca bahan agama dua jam sehari, merancang aktiviti-aktiviti agama dan seumpamanya.


Situasi ini tidak berlaku kepada orang awam sahaja, malah kadang-kala berlaku juga kepada mereka yang bergelar ulama. Untuk itu saya telah mencadangkan malah menjalankan satu kaedah muhasabah diri untuk digunakan oleh anak-anak buah dan kegunaan saya sendiri.


Untuk bakal pendakwah yang menunjukkan minat untuk terus bersama kita maka mereka hendaklah berusaha untuk mencapai perkara-perkara berikut setiap hari (selain solat fardhu lima waktu):

  • solat berjemaah 3 kali (lelaki sahaja), utamakan berjemaah di surau atau masjid
  • solat sunat 6 rakaat
  • membaca al Quran 1 muka (secara melihat)
  • menghafaz atau mengulangkaji hafazan 10 minit
  • wirid pagi atau petang, 15 minit setiap sesi (apa saja aurad, kami gunakan al-Ma’thurat)
  • qiamullail, sekurang-kurangnya 2 rakaat tahajjud
  • berdakwah, sekurang-kurangnya satu perkataan yang bererti, satu SMS dan seumpamanya
  • baca bahan agama 20 minit (juga menonton, mendengar, mengarang dsb)
  • kurangkan makanan yang boleh memudaratkan
  • ikram- membuatkan seseorang berasa seronok walaupun seketika
  • bacan-bacaan sebelum tidur
  • riadah 20 minit (lelaki)

Perkara-perkara di atas mesti diusahakan setiap hari. Selain itu ada beberapa perkara lain yang tidak setiap hari seperti:


  • puasa sunat sekali dalam sebulan
  • mengikuti apa jua majlis agama 3 jam seminggu (lelaki), 1 jam (wanita)

Sekiranya bakal pendakwah itu pelajar sekolah, pelajaran agama di sekolah tidak diambil kira.


Untuk ketua, pemimpin, naqib, naqibah, muallim dan seumpamanya, hendaklah mencapai perkara-perkara berikut:

  • solat sunat 15 rakaat
  • tilawah al Quran 1 juzuk (sama ada melalui penglihatan atau hafazan)
  • hafazan atau ulangkaji hafazan 15 minit
  • qiamullail sekurang-kurangnya 15 minit
  • riadah 20 minit sehari
  • sesi tarbiyyah keluarga 10 minit (bagi yang telah berkeluarga)
  • berdakwah, sekurang-kurangnya satu perkataan yang bererti, satu SMS dan seumpamanya
  • baca bahan agama 1 jam (juga menonton, mendengar, mengarang dsb)
  • kurangkan makanan yang boleh memudaratkan
  • ikram- membuatkan seseorang berasa seronok walaupun seketika
  • bacan-bacaan sebelum tidur

Perkara-perkara di atas mesti diusahakan setiap hari. Selain itu ada beberapa perkara lain yang tidak setiap hari seperti:


  • puasa sunat 3 kali dalam sebulan

  • mengikuti apa jua majlis agama 3 jam seminggu (lelaki), 1 jam (wanita)


Pencapaian di atas bukan kewajipan, tapi satu usaha untuk menggalakkam istiqamah dan menjadikan kita insan berjiwa agama yang seimbang. Jika kita boleh melakukan lebih daripada itu, sangat digalakkan. Cuma jangan melampau dalam beribadah, kerana ditakuti kita tidak ada kesempatan untuk melakukan kerja-kerja lain yang turut dituntut agama terutamanya mencari nafkah, silaturrahim dan ilmu-ilmu duniawi.

Untuk individu yang baru berjinak-jinak dengan agama dan dakwah, cukuplah tiga perkara saja dititikberatkan iaitu:

  • solat sunat 6 rakaat sehari
  • membaca bahan agama 20 minit sehari
  • membuka dan membaca al Quran semuka sehari

Yang penting ialah kemampuan untuk istiqamah, bukannya kuantiti ibadah yang tinggi tetapi tidak stabil- hari ini solat sunatnya 30 rakaat, esok langsung tidak ada, lusa 10 rakaat… tiada istiqamah.

Ia bersifat fleksibel, jika kita dari Johor pergi ke Kuala Lumpur untuk berceramah umpamanya tentu saja kita tidak dapat menyelesaikan kesemua item tersebut, namun ada sistem pemarkahannya (tak dapat diterangkan secara terperinci di sini, mungkin kemudian hari apabila saya hidangkan kupasan artikel ini) yang menjadikan kita tidak kerugian apa-apa. Ini kerana perjalanan kita semasa pergi, berceramah dan pulang termasuk ke dalam “ikram” dan “dakwah”. Maka markah untuk “ikram” dan “dakwah” menjadi berganda. Ia menampung semula kerugian kita dalam item yang lain.

Berdasarkan pengalaman saya menjalankan kaedah muhasabah ini, ternyata ia amat berkesan untuk melahirkan individu pendakwah yang seimbang.

Artikel yang lebih terperinci akan menyusul insyaallah (mungkin lewat sedikit). Sebagai pengkayaan, diharap dapat juga membaca tulisan saya bertajuk CARA MENYUSUN “FOLDER” AGAMA ISLAM. Ada kaitannya secara tidak langsung dalam usaha kita melahirkan insan berjiwa global.


Selamat mengislah diri!

“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”


Alexanderwathern
9 DIS 2006

http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/article59.html&mode=&order=0&thold=0

Sunday, March 4, 2007

KELEBIHAN BERSIFAT JUJUR



KELEBIHAN BERSIFAT JUJUR

Mengapa Kita Perlu Bersifat Jujur???Apa Kelebihannya?
Antaranya adalah:

• Kerehatan perasaan dan ketenangan jiwa

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Kejujuran adalah ketenangan”. (at-Tirmizi)

• Keberkatan dalam pendapatan dan pertambahan kebaikan

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Kedua penjual dan pembeli mempunyai khiyar selagi mereka berdua tidak berpisah. Sekiranya kedua mereka jujur dan menjelas (sifat dan keaiban barangan atau bayaran), mereka berdua diberkati dalam jualbeli mereka. Dan sekiranya mereka berdua menyembunyikan dan berdusta (tentang barangan atau bayaran),keberkatan jualbeli mereka berdua dihilangkan”.
(Muttafaq ‘alaih)

• Selamat daripada perkara yang dibenci

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Kamu hendaklah berlaku jujur sekalipun kamu lihat di dalamnya kebinasaan.
Kerana sesungguhnya terdapat di dalamnya keselamatan”.

(Muslim)

• Berjaya memperolehi kedudukan syuhada’

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang meminta kepada Allah untuk memperolehi syahid dengan jujur, Allah menyampaikan kepada kedudukan syuhada’ sekalipun dia mati di atas
tilamnya”.

(Muslim)

• Menemani golongan pemuka di syurga

Allah Taala berfirman:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat olehAllah kepada mereka iaitu Nabi-nabi dan orang-orang Siddiqiin dan orang-orang yang syahid serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).”
(an-Nisa’:69)

• Mencapai kedudukan golongan Siddiqin

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai siddiq (seorang yang sangat jujur).
(Muttafaq ‘alaih)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bukan seorang pendusta,seseorang yang mendamaikan antara manusia, lalu dia menyuburkan kebaikan atau berkata baik”.
(Bukhari & Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Wahai manusia, apa yang mendorong kamu untuk berterusan berdusta seperti kelkatu berterusan memasuk api. Semua dusta bagi anak Adam haram kecuali dalam tiga sikap: seorang lelaki berdusta terhadap isterinya untuk memuaskan hatinya, seorang lelaki berdusta dalam perang kerana perang adalah tipudaya dan seorang lelaki berdusta kepada dua orang Islam untuk mendamaikan mereka”.
(at-Tirmizi)

Tuesday, January 30, 2007

JANGAN BERBUAT DOSA BESAR


Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Jauhkanlah olehmu tujuh kejahatan yang membinasakan". Para sahabat bertanya: "Apakah tujuh kejahatan yang membinasakan itu ya Rasulullah?"

Rasulullah berkata:

* Merpersekutukan Allah
* Mengamalkan sihir
* Menghilangkan nyawa seseorang yang diharamkan Allah s.w.t. kecuali dengan hak
* Makan riba
* Makan harta anak yatim
* Melarikan diri pada waktu dalam peperangan
* Menuduh berzina,perempuan-perempuan mukminah yang suci dan terpelihara

(HR. Bukhari & Muslim)

Dalam hadis yang lain pula diterangkan:
Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Mahukah saya khabarkan kepadamu tentang dosa yang paling besar diantara dosa besar?
Iaitu Mempersekutukan Allah, Durhaka kepada ibu bapa dan perkataan jahat dan keji.
(HR. Bukhari & Muslim)

Thursday, January 25, 2007

KELEBIHAN BERAKHLAK BAIK

Mengapa Kita Perlu berusaha untuk menjadikan akhlak kita baik???

Kelebihan 1: Akhlak yang baik menambahkan iman.

Daripada Aisyah r.a , Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:

“Sesungguhnya dengan sebab akhlak yang baik, seseorang yang beriman dapat mencapai darjat orang yang berpuasa dan bangun malam (melakukan ibadat).”
( Abu Daud)

Kelebihan 2: Orang yang paling baik ialah orang yang terbaik
akhlaknya.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

“Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang terbaik akhlaknya di kalangan kamu.”
(Muttafaq alaih)

Kelebihan 3: Akhlak yang baik memberatkan timbangan amalan orang beriman pada hari Kiamat.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

“Tiada suatu yang lebih berat dalam timbangan amalan seorang hamba beriman pada hari kiamat berbanding akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar.”
(At-Tirmizi)

Kelebihan 4: Akhlak yang baik menjadi sebab masuk syurga.

Daripada Abu Hurairah:

“Rasulullah s.a.w. ditanya tentang perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke syurga. Baginda menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik”.
(at-Tirmizi)

Kelebihan 5: Akhlak yang baik mendekatkan kedudukan orang beriman dengan Rasulullah s.a.w. di syurga.

Daripada Jabir r.a. ,Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya orang yang paling aku sukai dan paling hampir kedudukan denganku pada hari Kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya di kalangan kamu. Dan sesungguhnya orang yang paling aku marah dan paling jauh daripadaku di kalangan kamu pada hari Kiamat ialah at-Tsartsarun (orang yang banyak cakap secara berlebihan), al-Mutasyaddiqun (orang yang bermulut lancang kepada orang lain) dan orang yang memenuhkan mulutnya dengan percakapan”. Mereka berkata: Wahai Rasulullah, kami tahu orang yang banyak cakap dan orang yang bermulut lancang terhadap orang lain. Apakah maksud orang yang memenuhkan mulutnya dengan percakapan? Baginda menjawab: “Orang yang takabbur”.
(at-Tirmizi)

Friday, January 19, 2007

Gadis Berhias Di Depan Lelaki



SOALAN

Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj, Nabi Muhammad saw telah diperlihatkan dengan nasib wanita yang suka berhias kepada orang lain tetapi tidak berhias pula kepada suaminya. Bagaimana pula dengan wanita yang belum berkahwin?

PENJELASAN

Pesan Rasulullah s.a.w:

“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang aku belum lagi melihat mereka. Pertama, golongan yang mempunyai cemeti-cemeti (iaitu golongan pemerintah) bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang BERPAKAIAN TETAPI TELANJANG, BERLENGGANG-LENGGOK waktu berjalan. Menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini TIDAK AKAN MASUK SYURGAdan TIDAK AKAN DAPAT MENCIUM BAU WANGINYA. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah dapat dicium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya.”

(Muslim)

Huraian hadith:
Kedua-dua golongan ini tidak wujud pada zaman Rasulullah kerana belum pernah dilihat baginda. Ini bermakna ia akan wujud kemudian, iaitu pada zaman sekarang. Golongan pertama ialah golongan pemerintah yang zalim. Golongan ini menghukum orang mengikut suka hati mereka.
Golongan kedua pula ialah kaum wanita yang berpakaian tetapi seolah-olah telanjang kerana ketatnya pakaian mereka dan tidak menutup aurat dengan sempurna. Ada saja bahagian yang dipertontonkan dan ada yang ditutup dengan helaian nipis. Mereka berjalan dengan gaya yang menarik perhatian, iaitu berlebih-lebihan dalam berlenggang-lenggok. Ini tidak bermakna wanita kena berjalan seperti robot, tetapi berjalanlah mengikut gaya semulajadi anda- jangan ditambah-tambah lagi untuk menarik perhatian orang. Kata Nabi, perempuan yang bersanggul di kalayak umum saja pun sudah tidak dapat mencium bau syurga, bagaimana pula dengan perempuan yang rambutnya berfesyen dan berwarna seperti sekarang ini?
Hadith ini merangkumi wanita yang sudah berkahwin atau belum. Tidak boleh berhias untuk lelaki. Bahkan berhias untuk lelaki yang mahram juga tidak boleh. Apa tujuannya berhias untuk bapa, datuk, abang atau saudara yang lelaki? Tampilkan diri anda yang biasa saja sudah cukup. Dan jangan lupa hiaskanlah diri anda untuk suami anda sehabis-habisnya.

http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=55&mode=&order=0&thold=0

Thursday, January 18, 2007

Ganjaran menolong saudaramu..



RASULULLAH S.A.W bersabda:

“Orang Islam itu adalah bersaudara bagi orang Islam yang lainnya. Oleh kerana itu janganlah seorang Islam menganiaya saudaranya dan jangan membiarkan saudaranya terseksa.Barangsiapa yang berusaha memenuhi hajat saudaranya,maka Allah akan memenuhi hajatnya. Barangsiapa yang melepaskan kesusahan saudaranya sesama Islam, pasti Allah akan melepaskannya dari beberapa kesusahan di hari kiamat dan barangsiapa yang menutup aib saudaranya, pasti Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.”
(Bukhari & Muslim)